Tawaran Umbro pikat Yob

Azizan Hashim
02 February 2001

PERAK mengikat kontrak empat tahun dengan penaja baru - Umbro berikutan tawaran menarik syarikat itu yang turut menjanjikan RM50,000 jika memenangi apa-apa gelaran dalam kancah bola sepak Liga M, musim ini.
Timbalan Presiden Perstuan Bola Sepak Perak (PFA), Jamal Nasir Rasdi berkata pakej itu bagaimanapun tidak termasuk Piala Sumbangsih.
"Majlis menandatangani perjanjian dengan pihak penaja akan diadakan minggu hadapan.

"Bagaimanapun Umbro secara tidak rasmi sudahpun menaja pasukan kerana telah membekalkan peralatan termasuk pakaian untuk latihan yang sedang berjalan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Jamal Nasir yang juga pengurus pasukan berkata skuad Seladang akan menjalani kursus motivasi untuk memperkuatkan mental pemain pada akhir Mac nanti.
"Kursus ini akan diadakan apabila semua pemain termasuk pemain kebangsaan menyertai semula pasukan," katanya.

Perak kini sedang berlatih tanpa enam pemain iaitu Ahmad Shahrul Azhar, V Saravanan, Mohd Khalid Jamlus yang menyertai latihan skuad senior kebangsaan serta Liew Kit Kong, Indraputra Mahayuddin dan K Rajini yang kini bersama pasukan bawah 23 tahun negara.
Selain itu, Jamal Nasir juga mengesahkan tentang kepulangan pengendali pasukan, Karl Heinz Weigang pada 13 Februari ini.
"Weigang akan terus memulakan tugasnya sebaik tiba di Ipoh. Upacara menandatangani kontrak akan diadakan selepas itu," katanya.
Dalam perkembangan lain, bekas pemain Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, Faizal Zainal sudah sah menjadi milik pasukan Kejor Yob Kejor kerana telah mengikat kontrak selama dua tahun dengan pasukan Seladang baru-baru ini.

"Buruan Perak terhadap pemain sudah berakhir dengan Faizal menjadi pemain terakhir mengikat kontrak dengan kami," katanya.
Selain bekas pemain pertahanan yang juga boleh beraksi di posisi tengah itu, dua muka baru dalam pasukan itu ialah Azlisham Ibrahim dan Norizam Ali Hassan.
Sementara itu, Jamal Nasir berkata PFA akan mengkaji keputusannya untuk memperbaiki Stadium Perak berikutan rayuan penyokong pasukan itu.
"Ekoran permintaan daripada peminat, PFA akan berbincang semula dengan kerajaan negeri mengenai rancangan untuk membaik pulih stadium," katanya.
Ura-ura penutupan stadium untuk baik pulih yang menyebabkan pasukan Perak terpaksa beraksi di luar Ipoh setakat ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan peminat pasukan itu.