SIKAP menyepi V Saravanan membuat pegawai
pasukan bola sepak Liga M Perak tertanya-tanya di mana gerangan penyerang
kebangsaan itu ketika ini.
Saravanan yang dikatakan mengalamai kecederaan dan diketepikan daripada
rombongan skuad negara ke Doha untuk menghadapi pusingan kedua kejohanan pra
Piala Dunia setakat ini langsung tidak memaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak
Perak (PFA) tentang kedudukannya.
Keadaan itu membingungkan jurulatih Perak, Karl Heinz Weigang yang kecewa
sikap pemain itu.
“Saya tidak tahu apa terjadi kepada Saravanan. Adakah dia di bawa bersama ke
Doha atau berada di Malaysia sekarang.
“Setakat ini dia langsung tidak menghubungi PFA untuk memaklumkan
keadaannya,” katanya.
Menurut Weigang seorang pekerja yang berfikiran akan menghubungi majikan untuk
memaklumkan tentang keadaannya.
“Saravanan sepatutnya menelefon kepada PFA untuk menyatakan tentang
keadaannya.
“Jikapun dia diarahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk
menjalani rawatan sekurang-kurangnya beritahulah.
“Dia mesti sedar bahawa PFA adalah majikannya. PFA yang membayar gajinya,”
katanya.
Weigang berkata sikap seperti itu seharrusnya ada kepada seorang pemaij
bertaraf profesional.
“Jika di Eropah mana boleh pemain meninggalkan kelabnya sewenang-wenangnya.
“Dia terpaksa menyertai pasukannya semula sebaik selepas tamat tugasan
bersama skuad negara termasuk apabila diketepikan,” katanya.
Sementara itu sikap Saravanan itu juga nyata tidak digemari oleh Timbalan
Presiden PFA, Jamal Nasir Rasdi yang memberi amaran akan mengambil tindakan
terhadapnya jika gagal melaporkan diri ke dalam latihan pasukan.
Menurut Jamal Nasitr yang juga pengurus pasukan, PFA boleh mengambil tindakan
termasuk memotong gaji Saravanan yang dianggap ponteng kerja.
“Jika dia terus tidak muncul kami tidak teragak-agak untuk mengambil
tindakan terhadapnya,” katanya.