Rejim baru bakal terajui Perak FA

23 November 2000

MESYUARAT agung Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) di Ipoh, Sabtu ini, mungkin menyaksikan rejim baru mengambil alih teraju dan kepemimpinan persatuan berkenaan.

Setakat ini yang pasti kekosongan ialah untuk jawatan Presiden persatuan itu berikutan pengumuman bekas Menteri Besar, Tan Sri Ramli Ngah Talib yang kini Timbalan Menteri Pengangkutan, untuk tidak mempertahankan jawatannya.

Manakala kesamaran juga berlaku kerana Timbalan Presiden dan bekas pengurus, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar juga setakat ini menyepi dan enggan menyatakan pendirian sama ada mahu terus berada dalam bahtera PFA.

Persoalan yang ligat bermain di kepala peminat Perak sekarang ialah siapa yang akan menerajui PFA berikutan pengunduran Ramli.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali orang yang dikatakan paling sesuai memegang tampuk pentadbiran PFA, awal-awal lagi menyatakan tidak berminat dengan tugas itu.

Jika mengikut hiraki dan amalan biasa, Raja Ahmad selaku Timbalan Presiden untuk beberapa lama adalah orang yang sepatutnya mendaki anak tangga.

Bagaimanapun bekas pengurus Perak hampir satu dekad yang membawa banyak kejayaan itu, tampak seolah-olah hilang taring dan tidak lagi popular di kalangan ahli majlis ketika mesyuarat majlis baru-baru ini.

Oleh yang demikian sukar membayangkan kemungkinan Raja Ahmad yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dipilih menerajui PFA.
Dalam pada itu, angin kencang bertiup mengaitkan Raja Muda, Raja Nazrin Shah akan menerajui PFA.

Manakala Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Pembangunan Tenaga Manusia, Belia dan Sukan, Jamal Nasir Rasdi juga calon popular.

Bagaimanapun Jamal yang juga Naib Presiden PFA sejak 1995 baru-baru ini dilantik menjadi pengurus pasukan.

Oleh yang demikian, ahli majlis PFA mungkin berasakan jawatan presiden tidak sesuai untuk Jamal Nasir kerana belum pernah terjadi dalam sejarah badan itu presidennya juga adalah pengurus pasukan.

Bagaimanapun mungkin PFA juga mahu memecah tradisi itu serta mencatat sejarah baru dengan melantik bos pasukan juga sebagai bos persatuan.

Dalam dunia hari ini, siapa ada kuasa dia kuat. Oleh yang demikian, macam-macam boleh berlaku.

Selaku ahli Exco, Jamal Nasir memang mempunyai pengaruh. Lebih penting lagi dia hampir dengan Tajol Rosli untuk mudah merujuk dan meminta bantuan daripada Menteri Besar Perak itu.

Apapun segala petunjuk menandakan perubahan besar akan berlaku apabila perwakilan dari sembilan daerah serta tiga ahli gabungan iaitu Persatuan Bola Sepak Melayu, India dan Cina Perak membuat undian mereka, Sabtu ini.

Apa yang pasti ialah sekali air bah sekali pantai berubah. Oleh yang demikian tidak menghairankan jika rombakan bukan setakat berlaku pada dua jawatan penting itu tetapi juga pegawai-pegawai lain.