Raja Nazrin Presiden PAFA

RAJA Muda Perak, Raja Nazrin Shah dipilih tanpa bertanding sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang baru selepas presiden lama, Tan Sri Ramli Ngah Talib yang memegang jawatan itu selama 17 tahun mengambil keputusan mengundur diri.

Pemilihan Raja Nazrin itu pada mesyuarat agung PAFA semalam sekali gus menamatkan teka-teki mengenai siapa yang bakal menerajui PAFA selepas Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali sendiri turut enggan memegang jawatan nombor satu itu.

Pastinya kesediaan Raja Nazrin itu akan menyuntik semangat baru bagi kemajuan bola sepak Perak yang kini berada di kemuncak prestasi dan pencapaian.

Ramli ketika ditemui selepas mesyuarat berkata, kesediaan Raja Nazrin itu bagaimanapun bersyarat iaitu beliau hanya bersedia menjadi presiden jika tiada calon yang sesuai.

''Baginda telah menyatakan persetujuannya. Namun jika saya mahu terus kekal, baginda tidak mahu jadi presiden. Tetapi saya telah ambil keputusan mengundur diri dan baginda bersedia memegang jawatan itu,'' ujar Ramli.

Sementara itu, nama Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar juga kini tidak lagi berada dalam senarai ahli jawatankuasa PAFA yang baru apabila beliau turut mengundurkan diri.

Jawatan timbalan presiden kini dipegang Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri yang juga pengurus pasukan Perak yang baru, Jamal Nasir Rasdi yang juga menang tanpa bertanding

Manakala jawatan naib presiden disandang Datuk Ismail Mokhtar dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Kurau, Ahmad Shariffudin A. Aziz.

Dalam pada itu, Perak kini menjadi perhatian tiga jurulatih tempatan untuk mengendalikan pasukan itu bagi musim depan ketika kedudukan Karl Heinz Weigang masih belum dapat ditentukan lagi.

Jamal Nasir berkata, mereka terdiri daripada Khadir Buyong, bekas jurulatih Selangor, K. Rajagopal dan Chow Kwai Lam yang menyatakan kesediaan untuk membimbing pasukan Seladang itu.

''Saya akan mengadakan pertemuan dengan ketiga-tiga mereka minggu depan untuk mengetahui perancangan mereka sebelum membuat keputusan memilih siapa yang layak,'' ujarnya.

Bagaimanapun katanya, nama Weigang masih belum tercicir dalam perancangan kerana PAFA masih berminat menggunakan khidmat jurulatih dari Jerman itu jika boleh.

''Semua keputusan akan diketahui selepas mesyuarat jawatankuasa pengurusan diadakan nanti,'' tegasnya.

 


© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.