Azizul berminat sertai Perak

Oleh Asrol Awang dan Azizan Hashim
20 December 2000

BEKAS penyerang kebangsaan, Azizul Kamaluddin, belum memberi kata putus sama ada terus bersama Pahang atau tidak kerana memikirkan gaji yang ditawarkan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) bagi musim 2001.

Ini kerana pada masa sama, penyerang berasal dari Kuantan itu sedang memikirkan sama ada masih beraksi bersama Pahang atau pasukan lain bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Disebabkan itu, Azizul tidak menandatangani kontrak bersama skuad Pahang ketika rakan lain menurunkan tandatangan untuk musim 2001 di Kuantan, kelmarin.

Bagaimanapun, menurutnya, dia akan membuat keputusan sebelum sambutan Aidilfitri kerana Pahang akan menjalani latihan bermula awal Januari depan.
“Pada masa sama, saya sudah pun memaklumkan kepada pengurusan PBNP untuk menangguhkan keputusan menyertai skuad Pahang atau tidak,” katanya di Kuantan semalam.

Kelmarin, kehilangan bekas penyerang kebangsaan menjadi tanda tanya kerana dia dikatakan akan terus bersama Pahang tetapi kegagalannya menandatangani kontrak menimbulkan persoalan.

Bagaimanapun, kehilangan Azizul langsung tidak meresahkan pengurusan PBNP. Malah, PBNP meminta Azizul supaya segera menghubungi presiden atau timbalan presiden persatuan berkenaan jika masih berminat untuk menyarung jersi Pahang, musim depan.

Naib Presiden Satu PBNP, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, Azizul tidak dapat dihubungi dan persatuan masih kabur sama ada penyerang itu menerima tawaran negeri atau sebaliknya.

“Jika Azizul masih berminat, sila hubungi PBNP segera. Tapi, PBNP tetap tidak berganjak terhadap isu gaji yang terpaksa dikurangkan,” katanya.

l Sementara itu, teka-teki kehilangan Azizul daripada majlis menandatangani kontrak dengan PBNP kelmarin terjawab apabila pemain itu dikatakan berminat untuk datang ke Perak.

Malah bekas penyerang kebangsaan itu dikatakan akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PFA), Jamal Nasir Rasdi di Ipoh, hari ini.

“Azizul menghubungi saya untuk menyatakan kesediaannya untuk mengadakan perbincangan.

“Jadi, tidak ada salahnya perbincangan dan pertemuan itu diadakan kerana kedua-dua pihak memang ada keinginan antara satu sama lain,” kata Jamal Nasir selepas mesyuarat majlis PFA di Ipoh, semalam.

Jamal Nasir yakin kemampuan jentera serangan Perak yang setakat ini mempunyai khidmat Mohd Khalid Jamlus, V Saravanan, M Nagaraja serta yang terbaru Norizam Ali Hassan bertambah kuat jika disertai Azizul nanti.

Berikutan itu beliau yang juga pengurus pasukan berharap rundingan itu akan berjaya dan Perak berupaya membuat ‘tangkapan’ terbesarnya itu.
Setakat ini, Azlisham Ibrahim dan Norizam adalah dua pemain luar yang baru menyertai juara Piala Malaysia itu.

Selain itu, Jamal Nasir mengumumkan pelantikan Mohd Najri Abdul Hamid sebagai setiausaha baru PFA selepas mendapat persetujuan Presiden PFA, Raja Nazrin Shah. Mohd Najri yang juga Ketua Penolong Pegawai Daerah Ipoh menggantikan Abdul Hadi Alang Rashid.

Menurut Jamal Nasir, Raja Nazrin juga bersetuju dengan pelantikan Ketua Eksekutif Maju Perak, Mansur Ahmad sebagai bendahari baru PFA menggantikan Amaluddin Ismail .