PEMAIN PERAK DAPAT DURIAN RUNTUH RM47,000 SEORANG

 
 
 

 

IPOH, 19 Dis (Bernama) -- Pemain bola sepak Perak hari ini mendapat durian runtuh apabila kerajaan negeri membayar ganjaran berjumlah RM47,000 setiap pemain kerana membawa pulang Piala Malaysia.

Ganjaran itu disampaikan pada satu majlis oleh presiden Persatuan Bolasepak Perak yang baru Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

Perak menjadi juara Piala Malaysia tahun ini selepas mengalahkan Negeri Sembilan pada pertandingan akhir.

Raja Nazrin Shah mengingatkan para pemain supaya tidak terlibat dalam rasuah dan memberi amaran mereka akan disingkirkan jika didapati berbuat demikian.

Katanya pasukan yang bersih dari rasuah dan sebarang masalah disiplin akan menjadi lebih berjaya.

Pemain perlu menujukkan mutu permainan yang tinggi agar dapat menarik lebih ramai peminat menonton setiap kali pertandingan diadakan, dan ini secara tidak langsung akan dapat meningkatkan jumlah kutipan hasil kepada persatuan, katanya.

Sementara itu pengurus pasukan Jamal Nasir Rasdi berkata lapan pemain telah memperbaharui kontrak dengan Perak untuk liga musim hadapan.

Mereka ialah Azrul Amri Burhan, N.Nagaraja, P.Gunasekaran, Khalid Jamlus, V.Saravanan, Chan Weng Hong, Zamri Mat Arif dan Raja Azlan Shah.

Perak turut mengambil pemain baru, Azlisham Ibrahim bekas pemain pasukan Pulau Pinang dan Norizam Ali Hasan bekas penyerang pasukan Kedah.

Kedua-dua pemain itu telah menandantangani kontrak untuk Perak musim depan, manakala seorang lagi pemain sedang dicari bagi memantapkan lagi pasukan Perak.

Mengenai jurulatih pasukan, kemungkinan jurulatih import akan dikekalkan tetapi beliau enggan mengulas lanjut mengenainya kerana perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi selepas mendapat persetujuan daripada presiden serta anggota jawatankuasa.

Pemain pasukan Perak akan memulakan sesi latihan pada 8 Jan.

-- BERNAMA