Ahmad Shahrul tidak gusar (06 January 2001 )

Oleh Azizan Hashim
06 January 2001

TONGGAK Perak, Ahmad Shahrul Azhar Soffian yakin ketiadaannya serta dua lagi pemain, V Saravanan dan Mohd Khalid Jamlus tidak akan menjejaskan kemampuan juara Piala Malaysia itu bagi menghadapi cabaran pertama bola sepak Liga M, musim ini - Piala FA, awal Mac nanti.
Sebaliknya, Ahmad Shahrul yang juga kapten pasukan Seladang musim lalu yakin Perak mempunyai pemain lain untuk mengisi kekosongan itu nanti.
"Ada pemain lain lagi. Jadi ketiadaan kami tidak akan menjejaskan pasukan," katanya.
Ahmad Shahrul bersama Saravanan, Khalid serta dua pemain bawah 23 tahun, Liew Kit Kong dan Indra Putra Mahayuddin akan melaporkan diri ke dalam kem latihan pasukan kebangsaan mulai, Ahad ini.
Pasukan utama negara akan membuat persiapan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia di Hong Kong dan Qatar, Mac nanti.
Manakala skuad bawah 23 tahun akan membuat persiapan untuk menghadapi Sukan Sea, September nanti.
Ini bererti kelima-lima pemain itu tidak akan bersama pasukan Perak apabila memulakan persiapan Isnin ini di bawah kendalian penolong jurulatih, Mohd Zakaria Mohamed dan Talib Saidi.
Menurut Shahrul lagi, musim lalu juga Perak terpaksa memulakan kempen tanpa beberapa tonggak iaitu Syamsol Saad, Saravanan, Khalid dan juga Mohd Noor Derus.
Selain itu pasukan itu juga terpaksa membuat persiapan tanpa Kit Kong, Indra Putra serta seorang lagi pemain muda iaitu K Rajini.
"Ketiadaan kami hanya untuk sementara sahaja. Saya yakin pemain yang ada mampu memikul cabaran pasukan di peringkat awal," katanya.
Cuma apa yang diharapkan tongak tengah negara itu ialah rakan sepasukan meneruskan komitmen tinggi seperti ketika merangkul trofi unggul itu, musim lalu.
"Tiada jalan mudah untuk meraih kejayaan sebaliknya kesungguhan dan kerja keras serta ditambah sedikit faktor nasib mampu menjamin hasil lumayan," katanya.
Menurut Shahrul, Perak sudah menjadi tumpuan pasukan lain.
"Setiap pasukan sudah pasti berazam untuk menumpaskan Perak musim ini. Oleh yang demikian, kami perlu sentiasa berada dalam keadaan bersedia," katanya.