WEIGANG TANDATANGANI KONTRAK DENGAN PERAK 10 FEB 2001

IPOH, 24 Jan (Bernama) -- Bekas jurulatih Perak, Karl Heinz Weigang, yang membawa pasukan itu dua kali menjuarai Piala Malaysia, akan menandatangani kontrak sebagai jurulatih pasukan itu musim ini pada 10 Februari depan.
Pengurus Perak, Jamal Nasir Rasdi berkata Weigang pada dasarnya telah bersetuju untuk meneruskan kerjayanya sebagai jurulatih Perak.

Persatuan Bolasepak Amatur Perak (PAFA) hari ini menghantar surat tawaran itu yang antara lain menyebut maklumat terperinci mengenai gaji, bonus serta faedah-faedah yang akan beliau terima.

Jamal berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri jamuan hari raya Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan anak-anak syarikatnya di sini, petang semalan.

Beliau yang juga timbalan presiden Pafa, bagaimanapun enggan menyatakan jumlah gaji baru yang ditawarkan tetapi hanya menyatakan ia lebih daripada sebelum ini, termasuk kemudahan tempat tinggal, kereta serta tiket kapalterbang dari Malaysia ke Jerman untuk dua orang.

Weigang sebelum ini dilaporkan menerima bayaran sejumlah RM130,000 pada tahun 1998 dan RM318,042 pada tahun 1999.

Weigang, 65, yang menyertai Pafa pada 1997 berjaya membawa pasukan Seladang menjuarai Piala Malaysia sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1998 dan tahun lepas, sekaligus mengakhiri zaman kemarau pasukan itu selama 28 tahun.

Jamal berkata dengan adanya perjanjian secara hitam putih ini diharapkan Weigang tidak lagi menimbulkan masalah dengan mendakwa Pafa berhutang dengannya setiap kali kontraknya tamat.

Beliau juga berkata dengan barisan kepimpinan baru Pafa diketuai Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah, persatuan kini telah berjaya menyelesaikan pembayaran tertunggak termasuk bayaran kepada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja, cukai pendapatan serta bayaran gaji pemain untuk bulan November dan Disember lepas.

Katanya, Pafa kini telah berjaya mengutip sumbangan yang menggalakkan daripada penyokong-penyokong persatuan itu dan kini mempunyai keududkan kewangan lebih stabil berbanding sebelum ini.

Mengenai pembayaran gaji dan faedah yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini, Jamal Nasir berkata Pafa akan menerima pakai garis panduan mengenai gaji minima pemain yang ditetapkan sebanyak RM5,000 sebulan bagi pemain berkaliber.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah bersetuju memberi peruntukan kepada pasukan-pasukan penyokong Perak mengadakan program menarik lebih ramai penduduk negeri ini menyaksikan setiap perlawanan yang membabitkan pasukan Perak.

-- BERNAMA