Weigang bingung Saravanan tiada

Oleh Azizan Hashim
23 March 2001
Sumber: NST

SIKAP menyepi V Saravanan membuat pegawai pasukan bola sepak Liga M Perak tertanya-tanya di mana gerangan penyerang kebangsaan itu ketika ini.
Saravanan yang dikatakan mengalamai kecederaan dan diketepikan daripada rombongan skuad negara ke Doha untuk menghadapi pusingan kedua kejohanan pra Piala Dunia setakat ini langsung tidak memaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) tentang kedudukannya.
Keadaan itu membingungkan jurulatih Perak, Karl Heinz Weigang yang kecewa sikap pemain itu.
“Saya tidak tahu apa terjadi kepada Saravanan. Adakah dia di bawa bersama ke Doha atau berada di Malaysia sekarang.
“Setakat ini dia langsung tidak menghubungi PFA untuk memaklumkan keadaannya,” katanya.
Menurut Weigang seorang pekerja yang berfikiran akan menghubungi majikan untuk memaklumkan tentang keadaannya.
“Saravanan sepatutnya menelefon kepada PFA untuk menyatakan tentang keadaannya.
“Jikapun dia diarahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menjalani rawatan sekurang-kurangnya beritahulah.
“Dia mesti sedar bahawa PFA adalah majikannya. PFA yang membayar gajinya,” katanya.
Weigang berkata sikap seperti itu seharrusnya ada kepada seorang pemaij bertaraf profesional.
“Jika di Eropah mana boleh pemain meninggalkan kelabnya sewenang-wenangnya.
“Dia terpaksa menyertai pasukannya semula sebaik selepas tamat tugasan bersama skuad negara termasuk apabila diketepikan,” katanya.
Sementara itu sikap Saravanan itu juga nyata tidak digemari oleh Timbalan Presiden PFA, Jamal Nasir Rasdi yang memberi amaran akan mengambil tindakan terhadapnya jika gagal melaporkan diri ke dalam latihan pasukan.
Menurut Jamal Nasitr yang juga pengurus pasukan, PFA boleh mengambil tindakan termasuk memotong gaji Saravanan yang dianggap ponteng kerja.
“Jika dia terus tidak muncul kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadapnya,” katanya.