Bekalan Perak ke Melaka belum selamat

Sumber : Utusan Malaysia 17 Mac 2001

JUARA Piala Malaysia 2000, Perak berdepan saingan getir Melaka, manakala Terengganu menghadapi tugas berat untuk menempah tempat ke suku akhir bola sepak Piala FA, menjelang perlawanan kedua pusingan kedua hari ini.

Perak yang hanya berbekalkan kemenangan 2-1 ke atas Melaka pada Selasa lalu, belum selamat untuk memastikan tempat ke suku akhir kerana dijangka diberi saingan sengit di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Bagi Terengganu, hanya kemenangan besar ke atas lawan di gelanggang sendiri, mampu memastikan mereka melangkah lebih jauh.

Juara Piala FA tahun lalu mengalami kekalahan mengaibkan kepada pasukan bertaraf kelab, Johor FC 3-0 dalam pertemuan terdahulu.

Nasib yang sama juga dialami oleb bekas juara Piala Malaysia, Selangor yang kecundang 3-0 kepada Perlis pada perlawanan pertama lalu.

Selangor yang beraksi di gelanggang sendiri perlu memastikan kemenangan besar sekurang-kurangnya 4-0.

Peluang Kuala Lumpur juga hampir tertutup dan perlu menang besar selepas tumpas kepada pasukan kelab, JKR Kelantan yang sudah selesa dengan kemenangan 2-0.

Pahang yang akan bertandang ke Stadium Penampang, Kota Kinabalu, juga berdepan tugas berat untuk menebus kekalahan 1-0 kepada Sabah dalam saingan awal.

Jiran Sabah, Sarawak perlu memberi aksi lebih baik di Stadium Sarawak, Kuching, hari ini apabila berdepan SKMK Kelantan yang sudah mempemarkan kehebatan sekali pun tumpas 3-2.

Negeri Sembilan dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk meneruskan penguasaan ke atas pasukan pelawat Perak Lintau di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi selepas menang awal 3-0.

Apapun, pertemuan kedua pusingan kedua hari ini, hanya menyediakan tujuh tempat ke suku akhir