Enam lagi pasukan ke suku akhir

Sumber : Utusan Malaysia 28 Mac 2001


Dua pemain Perak berusaha mendapatkan bola pada pertemuan menentang Melaka di Stadium Selayang, semalam. Perak menang dengan agregat 4-3 selepas seri, 2-2 pada perlawanan kedua itu.

JUARA Piala Malaysia 2000, Perak meneruskan langkah bergaya ke suku akhir selepas mencatat keputusan seri 2-2 dengan Melaka untuk melengkapkan agregat 4-3 pada perlawanan kedua pusingan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang,

Perak menang 2-1 pada saingan terdahulu, memperoleh gol menerusi Shamsul Mohd. Saad pada minit ke-76 dan Norizam Ali Hassan (90), manakala gol Melaka dijaringkan oleh Mohd. Faizal Esahar (26) dan Mohd. Rizalruddin Abdul Ghani (61).

Di Stadium Shah Alam, pasukan tuan rumah Selangor bangkit daripada kekalahan 3-0 dalam perlawanan pertama untuk menewaskan Perlis 4-0, sekali gus mara ke suku akhir dengan agregat 4-3.

Pemain gantian, Mohd Amri Yahyah menyelamatkan tuan rumah hasil jaringan pada minit terakhir permainan, selepas Tengku Hazman Raja Hassan (19), Yusri Che Lah (29) dan Shamsul Amri Abu Bakar (85).

Di Stadium Sultan Mohammed IV, Kota Bharu, tuan rumah JKR Kelantan muncul kelab pertama ke suku akhir menerusi agregat 2-1, sekali pun tumpas 1-0 kepada Kuala Lumpur.

JKR Kelantan yang sebelum ini menang 2-0 ke atas lawannya itu, dibolosi menerusi jaringan pemain Kuala Lumpur, Rosle Darus pada minit ke-29, tetapi terus bernafas ke suku akhir.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan lega dengan agregat 4-0 ke atas Perak Lintau untuk ke suku akhir selepas menang 1-0 hasil jaringan Khairul Anuar Baharom pada minit terakhir permainan. Tuan rumah sebelum ini menang selesa 3-0.

Di Stadium Penampang, Kota Kinabalu, tuan rumah Sabah mara ke suku akhir menerusi jaringan emas pemain gantian, Gilbert Cassidy pada masa tambahan `sudden death' untuk agregat 2-1 ketika bertemu Pahang.

Sabah yang menewaskan Pahang 1-0 pada pertemuan terdahulu, dikejutkan oleh jaringan penyamaan pelawat menerusi penyerang, Khairul Anwar Karim pada minit ke-77 sehingga memaksa perlawanan ke masa tambahan itu.

Di Stadium Sarawak, Kuching, tuan rumah Sarawak mara ke suku akhir dengan mencatat kemenangan agregat 5-2 ke atas SKMK Kelantan.

Selepas menang tipis 3-2 pada saingan terdahulu, Sarawak meneruskan aksi lebih bertenaga untuk kemenangan bersih 2-0 hasil jaringan Abd. Halim Jantan pada minit ke 28, sebelum G. Muthu melengkapkan kemenangan pada minit ke-42.

Sementara itu, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, tuan rumah Terengganu dan Johor FC terpaksa mengharungi perlawanan penentuan hari ini, selepas perlawanan kedua ditunda akibat hujan lebat semalam.

Terengganu, juara Piala FA tahun lalu sebelum ini tewas mengejut 3-0 di Pasir Gudang pada saingan pertama