Tajol tak minat teraju PFA

Oleh Azizan Hashim
01 November 2000

“SAYA juga tidak berminat. Oleh yang demikian saya berharap PFA (Persatuan Bola Sepak Perak) carilah sendiri calon yang paling sesuai dan layak.

Begitulah kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali ketika mengulangi ketegasannya untuk tidak mahu membabitkan diri dalam kancah menerajui persatuan itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan akan terus memberi sokongan dan bantuan kepada persatuan itu.

Tajol berkata demikian ketika ditanya kemungkinan beliau mengisi kekosongan jawatan presiden persatuan itu berikutan pengumuman penerajunya sejak 15 tahun lalu, Tan Sri Ramli Ngah Talib untuk melepaskan jawatannya tidak lama lagi.

Ramli yang juga bekas Menteri Besar Perak, membuat kenyataan itu semasa majlis meraikan kejayaan skuad Perak sempena kejayaan muncul juara Piala Malaysia musim ini di Pasir Salak, Sabtu lalu.

Apapun tindakan Ramli itu mencetus bantahan daripada beberapa persatuan daerah yang meminta Timbalan Menteri Pengangkutan itu terus menerajui PFA.

Ramli berkata, tindakannya melepaskan jawatan itu bagi memberi peluang kepada ‘orang baru’ menerajui persatuan itu untuk menentukan hala tuju PFA pada alaf baru.
“Kini saya tidak mempunyai banyak masa untuk bersama dengan persatuan dan pengurusan skuad Seladang kerana sudah berpindah ke Kuala Lumpur.

“Sejak menerajui PFA, skuad Perak sudah dua kali berjaya membawa pulang Piala Malaysia, termasuk kemenangan ke atas Negeri Sembilan baru-baru ini, selain juara Piala FA pada 1990.

“Memadailah setakat itu pembabitan saya dalam PFA dan beri peluang kepada orang lain pula,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Presiden PFA, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan setiausaha persatuan itu , Abdul Hadi Alang Rashid.

Ramli berkata, beliau akan memaklumkan secara rasmi hasratnya itu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dalam tempoh terdekat.

Katanya, kebanyakan ahli jawatankuasa PFA sudah dimaklumkan mengenai keputusannya itu, bagaimanapun mereka agak keberatan menerima keputusan itu dan meminta beliau meneruskan perkhidmatannya.

“Walaupun selepas tidak lagi menerajui PFA, saya akan tetap memberi sokongan padu kepada kepimpinan baru nanti bagi memastikan skuad Perak terus unggul,” katanya.

Sementara itu pelbagai spekulasi kini muncul mengenai bakal calon presiden persatuan itu yang turut membabitkan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.