Kapten Perak ketuai pasukan Piala Tiger

04 November 2000

FAKTOR tuah dan keyakinan memaksa B Rakjnikandh meleraikan ikatan tangan selaku ketua pasukan skuad negara di Piala Tiger kali ini kepada kapten Perak yang baru menjuarai Piala Malaysia, Ahmad Shahrul Azhar.
Kerana jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim, melihat perubahan tanggungjawab itu sebagai sesuatu yang perlu ketika Malaysia berusaha melakar peningkatan dengan mengejar sasaran tempat di separuh akhir kali ini.
“Sebenarnya, Rajnikandh dan Ahmad Shahrul saling layak diberikan tugas sebagai ketua pasukan.
“Tetapi – biarpun bukan salahnya – skuad negara gagal mencapai apa-apa ketika Rajnikandh menjadi ketua pasukan. Kini sudah tiba masa untuk beralih angin dengan Ahmad Shahrul pula diberikan tanggungjawab itu.
“Siapa tahu, tuah yang dimilikinya bersama Perak akan mampu dikongsi skuad negara. Ahmad Shahrul juga kini memiliki tahap keyakinan tinggi selepas memenangi Piala Malaysia yang mampu untuk dikongsi dengan pemain lain,” tegas Rahman.
Malah, Rahman turut melihat peralihan teraju itu sebagai langkah mengurangkan beban terpaksa ditanggung Rajnikandh yang juga bakal mengepalai benteng negara.
“Saya harap ia mampu membolehkan Rajnikadh memberikan tumpuan penuh kepada usaha mengemudi benteng tanpa perlu bimbangkan tugasan tambahan sebagai ketua pasukan,” katanya.
Pemilihan itu jelas satu pengiktirafan buat Ahmad Shahrul yang dianggap Rahman sudah mencapai tahap kematangan selepas sekian lama terdedah dengan pengalaman peringkat tinggi.
Rajnikandh pula menjanjikan kesungguhan jitu tanpa langsung terjejas dengan tanggungjawab ketua pasukan yang tidak lagi dimilikinya.
“Saya tidak kecewa dengan perubahan itu. Apa yang penting ialah berjuang sebagai satu pasukan mengejar matlamat yang sudah pun ditetapkan,” katanya.
Antara faktor dianggap menyumbang kepada pertukaran itu ialah rasa kurang puas hati Rahman dengan persembahan Rajnikandh dalam beberapa aksi persahabatan sebelum skuad negara berangkat ke Songkhla.
Ahmad Shahrul pula melihat kepercayaan Rahman sebagai satu pengiktirafan dan tanggungjawab yang akan cuba dilaksanakannya sedaya mungkin.
“Saya terharu dengan keputusan jurulatih memberikan tugas ketua pasukan negara itu. Saya berjanji akan berusaha sedaya upaya – dengan bantuan semua rakan sepasukan – untuk meletakkan Malaysia kembali sebagai barisan disegani,” katanya.