PERAK BERCADANG BAWA 30,000 PENYOKONG KE SHAH ALAM


IPOH, 10 Okt (Bernama) -- Perak bercadang membawa 30,000 penyokongnya untuk menggempurkan Stadium Shah Alam, Selangor bagi menyaksikan pertandingan akhir bola sepak Piala Malaysia Ahad ini.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Jamal Nasir Rasdi berkata, jumlah itu tidak termasuk penyokong yang tinggal di Lembah Klang.

Para penyokong akan memakai kemeja T berwarna kuning, hadiah daripada kerajaan negeri Perak, kerana menghargai sokongan dan semangat yang mereka tunjukkan, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pasukan Perak berlatih di padang berhampiran Stadium Perak di sini Selasa.

Beliau berkata para penyokong boleh mendapatkan tiket untuk pertandingan akhir di semua pejabat dengan berharga RM10 yang akan dijual tidak lama lagi.

Jamal Nasir berkata kemudahan itu diadakan kerana PAFA mahu rakyat negeri ini turun beramai-ramai ke Stadium Shah Alam tanpa menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tiket.

-- BERNAMA