Perak berhati-hati temu musuh
REKOD pertemuan dilihat lebih memihak kepada Negeri Sembilan tetapi itu tidak membimbangkan jurulatih Perak, Karl Heinz Weigang dalam menghadapi perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 15 Oktober ini.

Bagi Weigang, segala-galanya bergantung kepada prestasi pemain pada hari perlawanan akhir itu di samping sedikit tuah untuk mencatat kemenangan.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan Negeri Sembilan mempunyai kelebihan dari segi psikologi untuk berdepan dengan pasukannya.

''Menentang Negeri Sembilan di peringkat akhir pastinya memerlukan kekuatan fizikal dan mental apatah lagi Perak tidak pernah menang ketika bertemu Negeri Sembilan musim ini.

''Namun itu tidak membimbangkan saya kerana jika Negeri Sembilan sudah mengetahui kelemahan Perak, kita juga sudah membaca kelemahan mereka dan ia akan ditentukan dalam perlawanan akhir nanti,'' ujarnya.

Perak hanya mampu seri sekali dan tewas tiga kali dalam dua pertemuan di peringkat liga dan dua pertemuan di peringkat awal Piala Malaysia.

Bagaimanapun bagi Weigang, perlawanan akhir kali ini berlangsung di gelanggang berkecuali yang sudah tidak asing lagi bagi pemain-pemain Perak.

''Kelebihannya kerana Perak telah bermain di Stadium Shah Alam ketika bertemu Selangor dalam perlawanan separuh akhir pertama 3 Oktober lalu.

''Tetapi Perak akan tetap turun dengan berhati-hati kerana Negeri Sembilan bukan sebarangan pasukan dan berada di tahap terbaik untuk melakar sejarah tersendiri,'' katanya.

Perak layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan Selangor 3-0 pada separuh akhir kedua di Stadium Perak, Sabtu lalu.

Kemenangan itu membolehkan Perak layak ke perlawanan akhir menerusi agregat 4-2 selepas Selangor memenangi pertemuan pertama dengan 2-1.

Ini kali kedua dalam tempoh tiga tahun Perak layak ke perlawanan akhir.

Perak muncul juara Piala Malaysia pada 1998 dengan mengalahkan Terengganu 5-3 menerusi tendangan penalti berikutan keputusan seri 1-1 dalam permainan masa tambahan di Stadium Nasional Bukit Jalil