Akhir Piala Malaysia - Perak berbekal semangat anak jati

PERLAWANAN akhir Piala Malaysia kali ini membawa makna tersendiri bagi Azrul Amri Burhan, 25, yang menganggap ia lebih istimewa berbanding kejayaan muncul juara pada 1998.

Ini kerana kunjungan mereka ke Stadium Shah Alam pada 15 Oktober ini berbekalkan semangat perjuangan seratus peratus anak jati Perak yang sememangnya terkenal dengan sejarah kepahlawanan Datuk Maharajalela.

''Istimewanya perlawanan akhir kali ini ialah kerana kesemua pemain yang ada sekarang adalah anak jati Perak yang memikul sendiri harapan tinggi rakyat negeri ini.

''Ini berbeza sama sekali ketika Perak muncul juara Piala Malaysia pada tahun 1998 kerana waktu itu kita lebih banyak mengharapkan pemain import.

''Tentunya kejayaan kali ini lebih istimewa jika kita berjaya muncul juara kerana ia hasil titik peluh anak tempatan sendiri,'' ujarnya.

Sehubungan itu katanya, perjuangan Perak kali ini bertunjangkan semangat kenegerian yang tinggi untuk membuktikan anak watan juga mampu membawa pulang Piala Malaysia.

Menurut Azrul, pemain Perak jelas mempunyai kelebihan dari segi pengalaman berbanding Negeri Sembilan yang kebanyakannya adalah pemain-pemain muda yang belum pernah beraksi dalam perlawanan kemuncak seperti ini.

''Pertandingan akhir berbeza sama sekali kerana ia memerlukan kekuatan fizikal dan mental untuk mencatat kemenangan.

''Walaupun peluang kedua-dua pasukan 50-50, saya yakin pengalaman akan memberi kelebihan kepada kami kerana rekod pertemuan di peringkat awal bukan bekalan terbaik untuk pemain Negeri Sembilan,'' ujarnya.

Bagaimanapun, Azrul tidak menafikan prestasi pemain pada hari perlawanan sebenar adalah penentu segala-galanya selain sedikit tuah untuk mencatat kemenangan.

 


© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur