Raja Ahmad beri amaran

TIMBALAN Presiden, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar mahu pemain melupakan soal imbuhan buat seketika kerana ia boleh memakan diri pemain dalam menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia, 15 Oktober ini.

Katanya, imbuhan bukan jaminan untuk Perak mencatat kejayaan sebaliknya ia akan datang sendiri jika pemain dapat menumpukan sepenuh perhatian pada perlawanan akhir itu.

''Jangan fikir bentuk imbuhan yang bakal diterima, tetapi fikirlah tentang maruah dan harapan yang diberikan oleh rakyat negeri ini untuk melihat kita muncul juara.

''Saya tidak bimbang tentang lawan yang bakal kita hadapi, tetapi saya lebih bimbangkan pemain akan hilang tumpuan kerana memikirkan soal imbuhan semata-mata,'' ujarnya.

Raja Ahmad yang baru pulang daripada mengerjakan umrah juga menasihatkan pemain supaya tidak terpengaruh dengan rekod pertemuan lalu dengan Negeri Sembilan.

Sebaliknya beliau mahu pemain melakukan kebangkitan semula seperti yang dilakukan ketika bertemu Selangor di peringkat separuh akhir yang lalu.

''Kalau kita boleh bangkit semula selepas tewas di Shah Alam, tak ada sebab kita perlu gerun dengan Negeri Sembilan yang tidak pernah kita tewaskan musim ini,'' tegasnya.