Rusa risau

KEHADIRAN tujuh puluh ribu penonton di Stadium Shah Alam dalam perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di antara Negeri Sembilan dan Perak, Ahad ini ternyata meresahkan jurulatih skuad Rusa, Mohd. Zaki Sheikh Ahmad.

Menurut beliau, perlawanan akhir ini berbeza dengan apa yang telah dilalui oleh para pemainnya sewaktu mengharungi perlawanan peringkat awal, suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia.

Kata jurulatih itu, sepanjang musim ini, para pemainnya hanya berhadapan dengan purata antara 10,000 hingga 25,000 penonton dan jumlah ini dapat diatasi dengan baik oleh para pemain.

''Tetapi dengan kehadiran 70,000 penyokong dari kedua-dua pasukan selain paluan gendang, kompang dan pelbagai lagi, ia sesuatu yang baru kepada pemain,'' katanya ketika ditemui di Seremban semalam.

Katanya, perkara ini perlu diperhalusi dan diselesaikan dengan segera jika skuad Rusa berhasrat menjadi juara kerana jika gagal mengawal perasaan dan tekanan dalam tempoh 90 minit permainan, impian mereka pastinya lebur.

Beliau bimbang kerana sekurang-kurangnya sembilan pemain pasukan itu tidak pernah melalui pengalaman beraksi di hadapan 70,000 penonton apalagi beraksi di perlawanan akhir.

Bagaimanapun, menurut Mohd. Zaki dengan perlawanan akhir hanya lima hari lagi, skuad Rusa telah mengambil beberapa langkah tertentu untuk menguatkan mental dan fizikal para pemain.

Tambahnya, pengalaman Khairul Anuar Baharom dan Azman Adnan diyakini akan dapat membantu rakan-rakan mereka yang lain dengan memberi gambaran dan suasana serta perkara-perkara yang perlu dilakukan semasa permainan.

Kedua-dua pemain pernah menjulang Piala Malaysia dengan Khairul pada 1998 semasa bersama Perak dan Azman bersama Selangor pada 1995 dan 1997.

Manakala dua lagi pemain, Salim Khamis dan Azmi Mohamad pernah bermain dalam perlawanan akhir Piala FA.

Mohd. Zaki juga berkata, beliau menganggap skuad Rusa sebagai pasukan underdog atas beberapa perkara, pertama kerana inilah julung-julung kali pasukannya memasuki perlawanan akhir Piala Malaysia dalam tempoh 52 tahun.

Faktor kedua pula ialah skuad Seladang memiliki pengalaman selaku juara Piala Malaysia pada 1998. Malah mereka memiliki jurulatih berwibawa, Karl Heinz Weigang yang mempunyai kehebatan dari segi taktikal.

''Skuad Rusa juga harus mengambil iktibar bagaimana Seladang menjaringkan tiga gol dalam separuh masa kedua semasa perlawanan separuh akhir kedua untuk membenamkan Selangor dengan agregat 4-2,'' katanya.

Sekiranya semua ini diambil kira, Perak merupakan pasukan pilihan dalam perlawanan akhir ini.

Bagaimanapun beliau berkata, skuad Rusa tidak akan mensia-siakan peluang keemasan itu dalam usaha mereka menamatkan penantian selama 52 tahun.

Tegasnya, skuad Rusa akan berjuang berhabis-habisan bagi memastikan impian menjadi kenyataan