Arena: YOB HARAP FAM JANGAN EMOSI

Oleh Azizan Hashim
10 October 2000

JIKA selama ini Karl Heinz Weigang beranggapan tiada siapa yang mempedulikan nasibnya di Perak, dia nyata silap.
Ini kerana tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk memanggilnya menghadap jawatankuasa disiplin badan induk bola sepak negara itu sebelum final Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam, Ahad ini mendapat bantahan rakyat Perak.
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Kampung Gajah (PBDKG), Abdullah Md Zain, menganggap tindakan menghadapkan jurulatih Perak itu dalam suasana sebegini sebagai tidak patut sama sekali.
Malah Abdullah melihat senario itu seperti sengaja mahu menganiayai Perak yang akan turun dalam perlawanan penting itu. Perak menewaskan Selangor 3-0 pada separuh akhir kedua di Ipoh, Sabtu lalu.
“Tindakan itu hanya akan menjejas tumpuan dan persiapan pasukan Perak. Tambahan pula jika Weigang digantung dan tidak dapat berada di sisi pemain ketika perlawanan, sudah tentu pasukan Perak akan terjejas.
“Soalnya Apakah FAM anti Perak? tanyanya ketika menghubungi Arena Metro, semalam.

Bagi Abdullah, tindak tanduk badan induk itu selama ini terhadap Perak cukup untuk meyakinkan bahawa FAM tidak sukakan negeri itu.
“Banyak insiden boleh dijadikan contoh terhadap dakwaan ini. Jika perkara itu membabitkan pemain, pasukan, pegawai atau penyokong Perak, FAM akan mengenakan tindakan keras termasuk denda yang besar.
“Tetapi apabila pasukan lain melakukannya tindakan yang dikenakan agak ringan,” katanya.
Pada pandangan Abdullah, Weigang sekadar menyuarakan pandangan terhadap corak dan mutu pengadilan dan bukan bertujuan mengkritik sesiapa.
“Pernah berlaku kejadian seorang jurulatih (import) mengkritik pengadil dengan begitu teruk sekali tetapi langsug tidak dikenakan sebarang tindakan.

Kenapa orang lain boleh buat tetapi apabila kena pada Weigang cepat-cepat hendak ambil tindakan,” katanya.
Sehubungan itu Abdullah berharap FAM bertindak dengan rasional dan tidak mengikut emosi kerana sebagai badan induk bola sepak negara harus menunjuk contoh yang baik.

“Kita hendak memajukan bola sepak bukan hendak berkelahi atau mencari salah orang. Jika ada teguran oleh mana-mana pihak seharusnya dikaji dan diteliti kemungkinan pandangannya itu berasas dan betul,” katanya