Arena: WIBAWA DUA KAPTEN

Oleh Saipul Adli Mohamed
10 October 2000

MUNGKIN ia hanya kebetulan, namun ketua pasukan Negeri Sembilan, Khairul Anuar Baharom berhak menyatakan kemaraan pasukan itu ke final bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam - kemunculan sulung selepas 52 tahun - adalah rezeki bagi anak ketiganya, Mohd Iman.

Usia Mohd Iman kini mencecah usia 11 bulan dan Khairul ada sebab untuk mengidam membawa Piala Malaysia ke Negeri Sembilan pada musim keduanya bersama skuad itu.

Kehadiran cahayamata sulungnya, Nor Akila diiringi kejayaan menjulang Piala FA bersama Kedah pada 1996 dan puteri kedua, Nor Hidayah lahir sebelum Khairul mengemudi benteng Perak menjuarai Piala Malaysia pada 12 Disember 1998.
“Ya, mungkin apa yang berlaku tahun ini adalah rezeki anak ketiga saya pula dan lebih penting, dia adalah lelaki. Mungkin tuah dua kakaknya berterusan dan saya menanti dengan penuh semangat perlawanan akhir nanti.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana tahun ini juga pasukan meningkat tepat pada masanya. Tetapi, kemenangan di kesemua 10 perlawanan Piala

Malaysia akan lebih lengkap sekiranya kami muncul juara,” kata Khairul semalam.
Walaupun baru berusia 26 tahun, Khairul yang mudah dikenali sebagai pemain pertahanan yang gemar membotakkan kepala, sudah mewakili lima pasukan negeri bermula dengan Kuala Lumpur, sebelum berhijrah ke Terengganu pada musim 1994.

Selepas membantu Terengganu menduduki tangga keempat liga, dia menyertai Kedah pada musim 1995 dan 1996 dan musim keduanya itu dilengkapkan dengan Piala FA, walaupun Kedah kecundang awal di Piala Malaysia.
Musim kedua bersama Perak pada 1998 juga cukup bermakna apabila Khairul membantu pasukan itu muncul juara Piala Malaysia selepas menumpaskan Terengganu di final di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Jadi, mungkinkah musim keduanya di Negeri Sembilan juga akan berakhir dengan Piala Malaysia kerana sama seperti final 1998, pasukan lawan di final adalah bekas pasukannya iaitu Perak?.

“Inilah namanya pemain profesional dan tanggungjawab saya kini kepada Negeri Sembilan. Kelebihan yang saya miliki adalah saya kenal dan tahu kelebihan serta kekurangan semua penyerang Perak sama ada Khalid Jamlus, V Saravanan atau M Nagaraja.
“Kami pernah menumpaskan Perak dalam kedua-dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia lalu, tetapi saya tetap beranggapan peluang 50-50.
“Pasukan yang paling kurang membuat kesilapan akan menang dan lebih penting, pemain Negeri Sembilan sedang bersemangat untuk melakar sejarah,” katanya.

Mengulas mengenai rahsia di sebalik peningkatan Negeri Sembilan yang menang 10 perlawanan berturut-turut, Khairul berkata: “Sebaik saingan liga berakhir, kami mengadakan satu post-morten sebagai satu keluarga dan mencapai kata sepakat dengan sasaran adalah merangkul Piala Malaysia.
“Ketika liga, sasaran kami hanya untuk layak automatik ke Piala Malaysia, bermakna kami belum meletakkan sasaran yang sudah mencapai kemuncak.
“Apabila bermula kemenangan demi kemenangan, semangat timbul untuk meneruskannya. Lagipun, saya berpesan kepada rakan terutama pemain muda bahawa jika ingin merasai kenikmatan sebagai pemain bola sepak, bawa pulang Piala Malaysia.

“Kehadiran beberapa pemain muda dari skuad Olimpik dan bawah 19 tahun negara juga menyaksikan persaingan sihat dalam perebutan 11 tempat utama. Selain itu, kami bernasib baik kerana kesemua 25 pemain bebas daripada masalah kecederaan dan inilah rahsia peningkatan kami.
“Jadi, saya percaya ada sebab untuk Perak bimbangkan ancaman kami.”
Berlangsung di gelanggang berkecuali, final Ahad ini dijangka lebih sengit walaupun Negeri Sembilan hanya memiliki dua pemain yang pernah merasai tekanan final, Khairul dan penyerang, Azman Adnan.

Seperti Perak, Negeri Sembilan akan memulakan latihan menjelang final petang ini. Yang pasti, di bahu Khairul bebanan lebih berat kali ini sebagai ketua pasukan dan juga kunci benteng.
Dan nampaknya, dia juga sudah bersedia memikul harapan itu sesuai dengan prinsipnya sebagai ‘fighter’ sama ada di tengah padang atau kehidupan harian.