Arena: ABU BAKAR TAK SENANG DUDUK

Oleh Azizan Hashim
10 October 2000

Oleh Azizan Hashim

RASA cemas dua kali muncul buat pemain senior Perak, Abu Bakar Fadzim ketika mengharungi perlawanan penuh dramatik separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor di Ipoh, Sabtu lalu.
Pertama kali pemain itu berasa sedemikian ialah ketika rehat apabila Perak gagal memecah kebuntuan sepanjang 45 minit pertama.

“Saya sudah mula dilanda resah dan kecewa apabila segala usaha kami untuk menjaringkan gol pada babak pertama itu menemui kegagalan.
“Saya mula terbayang perkara buruk dalam aksi seterusnya. Bagaimanapun kesungguhan setiap pemain akhirnya membuahkan ganjaran,” kata pemain itu menceritakan kembali detik cemas perlawanan penentuan itu.
Kali kedua debaran jantung pemain itu kencang ialah ketika Perak mempertahankan kedudukan 2-0 dengan perlawanan masih berbaki 10 minit.

“Sebenarnya kedudukan itu juga belum selamat buat kami kerana apa-apa boleh terjadi.
“Jika Selangor berjaya membalas jaringan bererti kami terpaksa meneruskan perlawanan ke tambahan masa sudden death dan seterusnya penentuan melalui penalti,” katanya.
Apapun berkat sokongan padu kira-kira 30,000 penonton, Abu Bakar dan rakan sepasukan berjaya bertahan sehinggalah P Gunasekaran melenyapkan sebarang peluang Selangor dengan gol ketiga Perak seminit sebelum tamat perlawanan.

“Jaringan Guna itu tambah melegakan walaupun ketika itu kami sudah di ambang kejayaan,” katanya lagi.
Apa yang pasti Abu Bakar mengecap kepuasan yang tidak terhingga berikutan kejayaan mengalahkan pasukan bintang seperti Selangor yang mempunyai tujuh pemain kebangsaan.
“Tiada yang lebih menggembirakan daripada kejayaan menakluk pasukan handal seperti Selangor.

Kini pemain tengah itu berharap untuk membuat kemunculan kedua dalam final piala berprestij itu selepas membantu Perak muncul juara pada 1998.
“Kami mahu jadi juara alaf baru. Perak mempunyai rekod merangkul gelaran jika membabitkan perkara-perkara baru,” katanya.