Sukan: Teori konspirasi jatuhkan Perak

Oleh Ahmad Khawari Isa
12 October 2000

EMPAT hari sebelum pertentangan kemuncak bola sepak Piala Malaysia, Negeri Sembilan jelas bukan musuh utama yang paling menerbitkan rasa kebencian di kalangan peminat Perak.

Kerana ketika ini, sentimen di negeri itu lebih tertumpu dalam bentuk kemarahan buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dilihat cuba menganiayai perjuangan Perak.

Ia timbul gara-gara tindakan FAM, selepas mesyuarat majlisnya Ahad lalu, untuk memanggil jurulatih, Karl Heinz Weigang, berdepan jawatankuasa disiplin kerana kenyataannya yang disifatkan mengecam pengadil perlawanan.

Seperkara pasti, Weigang jelas personaliti popular di kalangan peminat Perak, terutama di kalangan ratusan yang setia hadir menyaksikan sesi latihan pasukan itu setiap petang.

Dan tindakan FAM untuk memanggilnya menghadap jawatankuasa berkenaan ketika Perak kini dalam situasi persiapan penting sebelum aksi kemuncak itu, mencetuskan pelbagai teori kontroversi membabitkan FAM.

Paling popular ialah kepercayaan betapa FAM memang bencikan Weigang – lantas akan melakukan apa sahaja terdaya demi memastikan kegemilangan tidak mampu dimiliki jurulatih itu dan barisan kendaliannya.

Ia diperkuat dengan hujah betapa setiap kali Weigang membuka mulut, FAM ibarat memang menanti untuk menghukumnya. Ditambah rekod penggantungan pernah dialaminya sebelum ini, teori itu tampak kini ibarat sudah bertukar menjadi pegangan pasti di kalangan peminat Perak.

Isu jadi tumpuan sebenarnya ialah teguran Weigang terhadap corak pengadilan pengadil, Nik Ahmad Yaacob, ketika separuh akhir pertama Perak menentang Selangor di Stadium Shah Alam, 3 Oktober lalu.

Namun buat peminat Perak, ia hanya alasan FAM untuk terus menghukum Weigang ketika kenyataan mencabar pengadilan oleh jurulatih negeri lainnya tidak pernah dilayan sebegitu rupa.

Contoh dikemukakan ialah cara Terengganu membantah tindakan pengadil tidak mengiktiraf jaringan lewat Abdul Ghani Malek ketika menentang Sarawak di peringkat awal Piala Malaysia, yang berakhir dengan Sarawak akhirnya menang 1-0.

Ketika itu, pegawai dan jurulatih Terengganu sendiri mempertikaikan corak dan keputusan pengadilan, tetapi FAM memilih untuk tidak langsung menghukum mereka.

Selain itu, kecaman jurulatih Pulau Pinang, Irfan Bakti, ketika skuad itu terbabit dalam persaingan bersama Selangor dalam perebutan gelaran liga yang juga tidak dihukum, turut mengukuhkan kepercayaan peminat Perak betapa Weigang memang sentiasa mangsa kegemaran FAM.

Hari ini, Weigang berdepan detik penentuan – dengan penggantungan hampir pasti hadir mampu mengakibatkannya tersisih daripada tepi padang buat merencanakan strategi Perak ketika bertemu Negeri Sembilan, Ahad nanti.

Dan di mata peminat Perak, biarpun apa sekalipun bentuk hukuman dijatuhkan terhadap jurulatih popular itu, FAM tetap bersalah.

Negeri Sembilan, terbukti, bukanlah objek kebencian sebenar mereka.