Sukan: Ishak adili perlawanan final

12 October 2000

PENGADIL Kuala Lumpur, Ishak Ismail diberi penghormatan mengadili perlawanan akhir Ahad ini.
Ini adalah julung kali Ishak diberi tugas perlawanan akhir piala berprestij ini sejak ditauliahkan sebagai pengadil kebangsaan pada 1986.
Sebelumnya pegawai di Bank Simpanan Nasional ini pernah menjadi pembantu pengadil final 1997 antara Pahang dengan Selangor di tempat yang sama.
Ishak, 44, berpengalaman luas di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sebagai Penolong Pengadil Antarabangsa (Fifa) pada 1995-99, dia pernah mengadili perlawanan di Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Bangladesh dan di Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Sepanjang bertugas sebagai pengadil, Ishak melalui pelbagai pengalaman yang tidak mudah dilupakan.
Antaranya mengadili perlawanan akhir antara dua kelab terkemuka di Bangladesh pada 1997 di Dhaka yang disaksikan oleh kira-kira, 80,000 penonton.
Selain itu dia pernah menjadi pembantu pengadil pada perlawanan antara Jepun dan Brazil serta Korea dan Brazil.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak terutama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memberi kepercayaan kepada saya untuk mengadili perlawanan bersejarah ini,” katanya.
Pada perlawanan Ahad ini, Ishak akan dibantu N Karuppiah dari Pulau Pinang sebagai penjaga garisan pertama dan Azmi Abdullah, Selangor, penjaga garisan kedua.