Arena: Nagaraja tunai niat

Oleh Azizan Hashim
12 October 2000

SEPERTI 1998, penyerang, M Nagaraja membotakkan kepalanya berikutan kejayaan Perak mara ke final Piala Malaysia, Ahad ini.

Malah langkah pemain itu dituruti oleh kira-kira 20 peminat pemain itu di daerah kelahirannya, Parit.

Pada final dua thaun lalu, Nagaraja serta P Gunasekaran membotakkan kepala tetapi kali ini hanya penyerang lincah itu yang berbuat demikian.

“Saya memotong rambut sebagai menunaikan niat jika kami berjaya ke final.

“Malah 20 orang rakan di Parit juga mengikut jejak langkah saya. Jika anda bertemu orang berkepala gondol di Shah Alam nanti tentunya mereka dari Parit,” katanya.

Pemain berusia 26 tahun itu yang gagal memberi sumbangan berkesan dalam perlawanan kumpulan sudah menemui kembali sentuhannya bermula dua perlawanan separuh akhir dengan Selangor.

Berikutan itu Nagaraja pernah dikecam oleh pengendali pasukan, Karl Heinz Weigang dalam beberapa perlawanan.

Begitupun bersama kebangkitan Perak dalam empat perlawanan termasuk dua pertemuan suku akhir dengan Pulau Pinang, pemain itu turut memaparkan peningkatan.

Peningkatan pemain itu sudah pasti petanda baik buat Perak bagi menghadapi Negeri Sembilan, Ahad ini dalam usaha Seladang menebus tiga kekalahan kepada pasukan Rusa itu dalam saingan awal.

Menurut Naga keputusan perlawanan sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran kerana perlawanan akhir ini pentas berlainan.

“Ini sudah cerita lain. Pertemuan dalam perlawanan akhir sudah tidak sama dengan pertarungan lalu,” katanya.

Walaupun belum menyumbang sebarang gol dalam pentas Piala Malaysia, Nagaraja tidak terkilan kerana yang penting ialah kejayaan pasukan.

“Siapa jaring gol tidak kisah. Yang penting ialah Perak menang,” katanya.
Begitupun jika mampu mengukir namanya sebagai penyumbang gol Ahad ini, pemain yang lebih dikenali sebagai Naga itu akan lebih berpuas hati.