Penyokong serbu BPR

KIRA-kira 400 penyokong bola sepak negeri ini menyerbu ke pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) Perak kerana mendakwa berlaku penyelewengan dalam penjualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam pada 15 Oktober ini.

Kebanyakan mereka tidak dapat menerima alasan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan Majlis Sukan Negeri Perak bahawa tiket berharga RM10 telah habis dijual.

Mereka mendakwa terdapat penjualan pasaran gelap yang berlaku secara terang-terangan di luar Stadium Perak oleh 'orang tengah' dengan harga sekali ganda iaitu RM20.

''Kita mahu BPR siasat pembahagian jualan tiket ini kerana terdapat seorang membeli lebih daripada 10 dan ada sampai 100 tiket daripada orang yang mereka kenali dalam PAFA.

''Ini tidak sepatutnya berlaku kerana PAFA perlu menetapkan seorang boleh membeli tidak lebih daripada lima tiket dan kalau berkumpulan, mestilah tunjukkan permit bas daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),'' ujar seorang penyokong Perak ketika ditemui di luar bangunan BPR Perak.

Seorang lagi penyokong, Suhaimi Naim berkata, beliau menempah 12 buah bas dan telah membayar RM3,000 wang pendahuluan untuk membawa para penyokong.

''Saya dan rakan-rakan saya kecewa kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengaut keuntungan dalam keadaan yang kelam-kabut ini.

''Sehubungan itu saya menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan tiket yang telah dijual, sebaliknya mengeluarkan tiket yang dijual dengan cara teratur tanpa penyelewengan,'' katanya.

Difahamkan, para penyokong terbabit telah beredar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh pegawai BPR bertugas badan itu tidak mempunyai kuasa untuk menangkap 'ulat-ulat' yang menjual tiket tersebut.

Terbukti katanya, PAFA tidak langsung mempunyai sistem penjualan tiket yang adil dan bersih kerana sesiapa saja boleh beli dengan bilangan yang banyak.

Sehubungan itu tegasnya, mereka yang untung adalah kroni-kroni PAFA yang cuba menangguk di air keruh dengan menjual tiket itu di pasaran gelap.

Jurucakap BPR Perak ketika dihubungi mengesahkan kehadiran kira-kira 400 penyokong Perak pada pukul 3.30 petang semalam yang tidak berpuas hati kerana gagal mendapatkan tiket.

Kesemua mereka sebelum itu telah pun menyerbu pejabat MSN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada pukul 2.30 petang, tetapi dimaklumkan bahawa tiket telah habis dijual.

Berikutan itu berlaku keadaan tegang dan polis telah dipanggil untuk meleraikan kumpulan itu sebelum mereka menyerbu pula pejabat BPR untuk membuat aduan.

Sementara itu, Bendahari PAFA, Amaluddin Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa dalam hal ini kerana pembahagian tiket telah dibuat lebih awal.

''Kami terima 21,000 tiket daripada FAM dan 19,600 telah diserahkan kepada MSN Perak untuk dijual kepada orang ramai.

''Daripada baki 1,400 yang kami ada, 500 adalah untuk pemain dan keluarga mereka. Hanya 900 yang dapat kami jual kepada orang ramai,'' ujarnya.

Oleh: MOHD. TAUFEEK RAZAK