Weigang didenda RM10,000

KARL Heinz Weigang didapati bersalah tetapi terselamat daripada dikenakan tindakan lebih keras apabila jurulatih Perak itu hanya dikenakan denda RM10,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Ini bermakna jurulatih dari Jerman itu akan berada di bangku simpanan pemain Perak pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Jawatankuasa Disiplin FAM yang memanggil jurulatih itu semalam, membuat keputusan demikian setelah membincangkannya dengan panjang lebar di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Weigang hadir memberi keterangannya.

Pengerusi jawatankuasa, Datuk Paul Murugesu berkata, Weigang didapati bersalah atas tindakannya membuat kenyataan terbuka kepada akhbar yang ditujukan kepada pengadil perlawanan.

''Kita terpaksa mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan. Ahli jawatankuasa bersetuju Weigang hanya dikenakan denda dan tidak menggantungnya.

''Ini kerana tiada sebarang garis panduan dikeluarkan berhubung kes seperti ini. Mereka (jawatankuasa) membuat keputusan berdasarkan penelitian masing-masing,'' katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat berkenaan.

Bagaimanapun Murugesu berkata, Weigang diberi peluang membuat rayuan hukuman ke atasnya dalam tempoh dua minggu ini.

Weigang dipanggil menghadap jawatankuasa berkenaan selepas membuat kenyataan terbuka di akhbar yang ditujukan kepada pengadil perlawanan, Sabtu lalu.

Jurulatih itu memberitahu para pemberita di Ipoh, perlawanan separuh akhir pertama antara Perak dengan Selangor di Stadium Shah Alam tidak dikendalikan dengan adil oleh pegawai perlawanan.

Weigang mendakwa, banyak keputusan yang dibuat oleh pengadil memihak kepada Selangor yang menyebabkan pasukannya tumpas 2-1.

Kenyataannya itu dibuat setelah meneliti rakaman perlawanan itu.

Sebelum keputusan ke atasnya dibuat, Weigang, selepas memberi keterangan kepada jawatankuasa itu, bersemuka dengan para pemberita yang menunggu di bilik persidangan akhbar.

Beliau mengambil kesempatan bertanya kepada pemberita mengapa dia begitu dibenci oleh akhbar yang disifatkannya sentiasa mahu mencari kesalahannya.

Weigang turut mengungkit kembali khidmat yang pernah ditaburkan kepada Malaysia semasa membimbing pasukan kebangsaan pada 1980-82 tetapi Malaysia bagaikan tidak menghargai sumbangannya.

Oleh: JOHARI SHAWAL