Weigang naik berang

12 October 2000

MUNGKIN kerana marah dan geram, Karl Heinz Weigang mempamerkan kerenah antiknya ketika menunggu Jawatankuasa Disiplin FAM membuat keputusan terhadap kesnya yang didakwa mengeluarkan kecaman secara terbuka terhadap pengadilan bola sepak Piala Malaysia.
Dengan muka serius, dia mempertahankan tindakannya di depan sekumpulan wartawan sukan yang turut menunggu keputusan kes itu. Jurulatih Perak kelahiran Jerman itu mengecam pengadil Nik Ahmad Yaacob sejurus tamat perlawanan separuh akhir pertama di antara Perak dan Selangor, 3 Oktober lalu.
Sambil matanya tercari-cari wartawan yang dikenalinya, jurulatih itu mendakwa kenyataannya sering diputarbelitkan sehingga menyebabkan dia terpaksa menghadap jawatankuasa itu.
“Lihat ini,” katanya sambil menunjukkan beberapa keratan akhbar tempatan. “Saya tidak mengenali pemberita ini. Saya tidak dihubungi langsung. Adakah ini beretika?,” katanya.
Sejurus itu, Weigang mengeluarkan tiga helai kertas yang mempunyai tulisan tangan, yang didakwanya diberikan kepada wartawan sebagai kenyataan akhbar.
“Hanya kenyataan di muka surat dua disiarkan sedangkan tidak satupun kenyataan di muka pertama digunakan. Sebaliknya, akhbar menyiarkan lima perenggan pertama berdasarkan persepsi sendiri sebelum menggunakan kenyataan saya,” katanya.
Di tengah-tengah keasyikan bercakap, suasana bertukar tegang apabila seorang jurugambar merakam wajah jurulatih itu. Dengan wajah berang, Weigang mempersoalkan tindakan jurugambar terbabit.
“Mengapa anda tidak meminta kebenaran daripada saya terlebih dulu sebelum merakam gambar saya. Adakah begini tugas anda setiap hari? Adakah begini etika kerja anda?
“Bagaimana jika orang lain merakam gambar isteri anda? Bagaimanakah perasaan anda? Berikan filem itu kepada saya. Tidak kisah jika saya berada di dalam padang tetapi kini kita berada di tempat persendirian,” katanya sambil menghulurkan tangannya meminta jurugambar itu menyerahkan filemnya.
Weigang menyambung: “Jika anda enggan menyerahkan filem itu, bayar saya AS$500,” katanya lagi.
Suasana kembali reda apabila seorang wartawan berkata, tugas jurugambar adalah mengambil gambar dan ia berkaitan dengan bola sepak yang mempunyai pembaca yang ramai.
Suasana sepi beberapa minit bersambung kecoh apabila dia terus merungut mengenai etika kewartawanan sukan di negara ini sambil menyifatkan ia sengaja diada-adakan.
Weigang kemudian dipanggil semula ke bilik mesyuarat Jawatankuasa Disiplin FAM dan pengerusinya, Datuk Paul Murugesu kemudian mengenakan denda RM10,000 kepada jurulatih Perak itu.
Yang pasti, episod Weigang terus mewarnai kancah Piala Malaysia dan menambah debaran menjelang final di antara Perak dan Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam, Ahad ini