Penyokong kecewa tiket dijual secara gelap

13 October 2000

MAHU tahu bagaimana hangatnya demam final Piala Malaysia di Ipoh, semalam?
Untuk meringkaskan cerita, ia diserlahkan menerusi satu laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis, Ipoh, kereta pegawai Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yang dikepung peminat serta kemunculan seorang lelaki di perkarangan Stadium Perak yang menawarkan tiket RM10 dengan harga RM20.

Ditambah kenyataan yang sentiasa bertukar fakta – daripada pagi hingga petang – oleh pelbagai pihak terbabit, terbukti detik menjelang final di Ipoh dipenuhi elemen cukup mengejutkan.

Semua itu membuktikan betapa hebatnya kesungguhan ratusan peminat Perak yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan barisan mereka berjuang dalam aksi final menentang Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Segala kekecohan itu, hasil kesimpulan daripada rungutan peminat, timbul daripada inisiatif Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak mengambil alih penjualan 25,000 tiket diperuntukkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) buat peminat Perak.

Kerana biarpun pegawai MSN menegaskan setiap peminat hanya boleh membeli lima tiket seorang – selepas ditolak 9,000 untuk dijual di sembilan daerah di Perak – wujud dakwaan betapa tiket turut dijual dalam jumlah besar.

Untuk tambah mencelarukan keadaan, seorang peminat, Suhaimi Nasir, mendakwa ada seorang lelaki yang berlegar-legar di perkarangan Stadium Perak dan menawarkan tiket RM10 pada harga RM20.

“Menurut rakan saya, lelaki itu menjual tiket RM10 pada harga RM20. Malah lelaki itu mendakwa mampu memenuhi permintaan tiket untuk 20 bas peminat.
“Kami kemudiannya cuba mengepung dan menangkapnya, tetapi dia berjaya melarikan diri.

“Daripada apa diberitahu rakan saya, tiket dijualnya memang tiket asli. Tapi persoalannya, macam mana lelaki itu boleh ada tiket hingga boleh penuhkan 20 bas, padahal MSN sendiri kata semua tiket sudah habis dijual,” katanya.

Suhaimi turut mendakwa sebuah restoran di Tasik, berhampiran Ipoh, turut menjual tiket sama pada harga sekali ganda. Malah menurutnya, beberapa peminat sudahpun membelinya.

Sebelum itu, menurut Suhaimi, dia dan empat lagi rakan berkunjung ke pejabat MSN di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Tapi anggota polis di situ menyuruh mereka ke pejabat Badan Pencegah Rasuah untuk mengemukakan aduan.
“Sampai ke BPR, pegawai BPR pula menyuruh kami membuat laporan polis. Dan saya sudahpun membuatnya di IPK,” katanya.

Namun ia tidak terhenti di situ. Selepas sesi latihan, petang semalam, peminat kemudiannya mengerumuni dan mengepung kereta Bendahari Pafa, Amaluddin Ismail dalam usaha mendapatkan tiket.

Amaluddin kemudiannya mengeluarkan tiket RM10 yang masih berbalut kemas, dipercayai berjumlah 200 keping, kepada Suhaimi dan menyuruhnya untuk menjual kepada penyokong.

Namun Suhaimi, selepas perbincangan dengan peminat lainnya, memutuskan untuk tidak menjual dan akan menyerahkannya sebagai barang bukti kepada polis dan BPR.