Weigang tetap bersama pemain

13 October 2000

PERAK harus bernafas lega kerana jurulatihnya, Karl Heinz Weigang tetap akan berada di bangku pemain ketika perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan, Ahad ini.
Begitupun, Weigang tidak dapat lari daripada hukuman denda RM10,000 yang dikenakan Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas jurulatih kelahiran Jerman itu mengecam secara terbuka mutu pengadilan Nik Ahmad Yaacob, pengadil perlawanan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Selangor, 3 Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin FAM, Datuk Paul Murugesu dalam sidang akhbar semalam, berkata keputusan mengenakan denda itu dicapai sebulat suara oleh anggota jawatankuasa itu yang membincangkan kes Weigang selama lebih sejam, di Kelana Jaya semalam.
“Jawatankuasa ini sebulat suara mendapati jurulatih itu bersalah dan didenda RM10,000. Weigang diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan,” katanya sejurus tamat mesyuarat itu.
Menurutnya, walaupun tiada garis panduan terhadap hukuman bagi kesalahan kes seperti itu, keputusan mengenakan denda itu diputuskan jawatankuasa berkenaan selepas memberi pertimbangan mendalam.
Dia berkata, jawatankuasa itu mengambil kira setiap fakta kes walaupun jurulatih yang pernah membantu Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Moscow 1980 itu mendakwa kenyataannya telah diputar belitkan akhbar.
“Weigang turut mempertikaikan kesahihan mengenai surat memintanya hadir mengadap jawatankuasa ini yang kononnya tidak ditandatangani mana-mana pegawai FAM.
“Perlu dijelaskan di sini bahawa jawatankuasa ini menghantar surat kepada Setiausaha Persatuan Bola Sepak Amatur Perak (Pafa) dan menjadi tanggungjawab mereka untuk memberitahu jurulatih itu,” katanya.
Murugesu turut berharap jurulatih itu tidak mengulangi perbuatannya menjelang perlawanan akhir di antara Perak dan Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam, Ahad ini.
Keputusan denda RM10,000 itu boleh dianggap ringan kerana tahun lalu, Weigang pernah dikenakan hukuman penggantungan perlawanan kerana kesalahan yang sama, yang memaksanya sekadar menjadi penonton ketika anak buahnya beraksi.
Walaupun terkenal dengan kritikan tajamnya, kewibawaan jurulatih itu tidak boleh dipertikaikan. Ini terbukti apabila strategi bijaknya, membawa Perak ke final Piala Malaysia musim ini dengan agregat 4-2 biarpun ketinggalan 1-2 kepada Selangor dalam perlawanan separuh akhir pertama.
Mengenai kes membabitkan pemain Kelantan, Akmal Ahmad Tabarani yang melakukan kekasaran terhadap pemain Negeri Sembilan N Rajan ketika perlawanan suku akhir Piala Malaysia di Kota Bharu, Murugesu berkata ia akan diputuskan kemudian.
“Buat masa ini, tiada keutamaan untuk mendengar kes ini secepat mungkin tetapi kita akan membincangkannya nanti. Pemain itu tetap akan dipanggil,” katanya.