Amanat MB pencetus semangat Yob

13 October 2000

AMANAT khas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali – yang harus mungkin mengandungi janji ganjaran lumayan – bakal jadi bekal perjuangan Perak di final Piala Malaysia, Ahad nanti.

Amanat itu dinyatakan Tajol Rosli kepada penasihat pasukan Perak, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, dalam pertemuan di pejabatnya, pagi semalam.

“Menteri Besar Perak ada menyatakan amanatnya yang akan saya sampaikan kepada pemain. Saya tidak boleh ulas apa bentuk amanat berkenaan,” kata Raja Ahmad ketika ditemui, semalam.

Namun, daripada gambaran diberikan, ia harus mengandungi janji ganjaran kerajaan negeri yang jelas berbangga dengan kemampuan Perak layak ke final buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

Ia bakal jadi tambahan kepada jumlah RM5,000 yang diberikan kepada pemain selepas menundukkan Selangor untuk melangkah ke aksi kemuncak itu.

Namun buat Raja Ahmad, dia tidak mahu anak buahnya terlalu memikirkan soal ganjaran ketika maruah dan martabat Perak sudah cukup dijadikan faktor pembakar kesungguhan.

“Saya juga percaya betapa di final nanti, faktor penentu ialah kekuatan mental pemain. Kerana itu, saya mahu pemain berada dalam situasi terbaik dan tidak terbawa-bawa dengan pemikiran terhadap perkara lain,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Raja Ahmad turut menyeru bekas pemain yang pernah membintangi skuad Perak meraih gelaran juara Piala Malaysia pada 1970 dan 1998 turut hadir ke Stadium Shah Alam memberikan sokongan.

“Kerana kesuntukan masa, urusan untuk menghimpunkan mereka bersama-sama seperti dilakukan pada 1998 lalu tidak mampu dilakukan kali ini. Tetapi saya harap mereka hadir untuk sama-sama memberikan sokongan,” katanya.

Ia termasuklah bekas pemain seperti Roslan Hamid, V Murugan dan Lim Seng Kong yang pernah membantu Perak memenangi gelaran, dua tahun lalu, tetapi kini tidak lagi tersenarai dalam skuad berkenaan.