Perak kecewa cara agihan tiket

14 October 2000

IPOH: Cara pengagihan tidak betul mungkin faktor menyebab berlaku kekecohan tiket final Piala Malaysia Ahad ini di kalangan peminat Perak.

Tanpa berniat menyalahkan sesiapa, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PFA), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berkata ia tidak sepatutnya menimbulkan masalah besar.

“Perak pernah menguruskan penjualan tiket kerana pernah memasuki perlawanan akhir seperti Piala FA pada 1990 dan 1991 serta yang terbaru ialah Piala Malaysia dua tahun lalu.

“Ketika itu tiada masalah berlaku kerana tiket dijual di tempat yang sepatutnya,” katanya.

Beliau yang kesal dengan kejadian itu yakin perkara itu tidak akan berlaku jika dirujuk kepadanya walaupun keputusan sudah dibuat.

“Jika mereka tunggu kepulangan saya mungkin saya dapat memberi pandangan mengenai perkara itu,” katanya.

Raja Ahmad berkata demikian untuk menjelas kedudukan berikutan rungutan peminat yang kecewa kerana gagal memiliki tiket perlawanan akhir malam esok.

Ramai peminat datang ke stadium untuk membeli tiket kerana mendakwa pengumuman dibuat mengenai penjualannya di Stadium Perak, kecewa apabila tiada kaunter yang dibuka.

“Sebenarnya saya langsung tidak tahu menahu mengenai urusan penjualan tiket ini kerana keputusan telah dibuat untuk menjualnya melalui Majlis Sukan Negeri (MSN).

“PFA berterima kasih dengan pertolongan yang diberikan oleh pihak-pihak tertentu untuk menjayakan perlawanan ini,” katanya.

Malah menurut Raja Ahmad, dia sendiri terpaksa membeli tiket untuk perlawanan itu di MSN semalam.

Raja Ahmad berkata, dia terpaksa membuat penjelasan itu kerana tidak mahu ada berlaku salah anggap terhadap PFA dan pada masa yang sama tidak mahu mencari kesalahan sesiapa.

“Biarlah ini jadi pengajaran kepada semua pihak yang terbabit. Sepatutnya penjualan tiket dibuat di stadium kerana ia sudah menjadi kelaziman.

“Jika orang hendak menonton wayang sudah tentu dia membeli tiket di panggung wayang dan bukan di tempat lain,” katanya.