Weigang elak isu tiket jejas pemain

Oleh Azizan Hashim
14 October 2000

BAGI Karl Heinz Weigang segala kekecohan mengenai penjualan tiket selain publisiti buruk buat Perak dikhuatiri menjejas tumpuan anak buahnya.

Dalam saat menghadapi pertarungan sebesar ini jurulatih itu berkata kekecohan itu mampu mengganggu fikiran pemain.

“Agak mengecewakan apabila perkara seperti ini harus terjadi pada detik pemain hendak turun menghadapi ujian terakhir mereka,” katanya.

“Sehubungan itu Weigang berharap keadaan akan reda dengan segeranya bagi membolehkan anak buahnya menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap persiapan mereka,” katanya selepas sesi latihan petang semalam.

Menurut weigang itu adalah salah satu sebab mengapa dia mengadakan latihan tertutup petang semalam.

“Sebenarnya tiada latihan khas cuma saya tidak mahu tumpuan pemain terjejas kerana perbualan penonton,” katanya.

Jurulatih itu yang enggan mendedahkan strategi yang akan digunakannya sekadar berkata pemain Perak akan bermain mengikut kemampuan mereka.

“Saya tidak boleh nyatakan apa-apa kerana tidak tahu apa yang berlaku dalam tempoh terdekat.

“Mungkin ada pemain yang mengalami kecederaan atau tidak boleh beraksi pada saat akhir,” katanya.

Apa yang pasti menurut Weigang ialah dia akan membawa 18 pemain ke Stadium Shah Alam sebelum menamakan kesebelasan permulaan beberapa jam sebelum perlawanan.

Menurutnya berdasarkan suasana dalam pasukan itu setakat ini, pemain Perak semuanya bersemangat serta yakin untuk menghadapi perlawanan akhir itu.

“Segala tunjuk ajar sudah diberi kini terpulang kepada pemain untuk melaksanakan arahan yang diberi kerana mereka yang bermain,” katanya