Demam final

14 October 2000

WALAUPUN dilanda kekalutan tentang tiket, demam final Piala Malaysia tetap melanda rakyat negeri Perak yang ghairah berikutan kejayaan pasukan mereka mara ke perlawanan akhir untuk kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

Walaupun topik hangat ialah mengenai kekecewaan ribuan penyokong setia pasukan itu mendapatkan tiket tetapi rakyat dari setiap lapisan masyarakat tidak dapat melarikan diri daripada memperkatakan tentang perlawanan akhir itu.

Kesungguhan rakyat Perak untuk bertandang ke Stadium Shah Alam esok menyaksikan mereka masih tidak berputus asa mendapatkan tiket walaupun mengetahui bahawa 25,000 tiket yang diperuntukkan sudah habis dijual.

Walaupun suasana tidak segamat ketika mara ke final 1998 - selepas 24 tahun - yang menyaksikan kain rentang di gantung di hadapan stadium beberapa hari sebelum melangkah ke Stadium Bukit Jalil, peminat Perak kali ini nyata ‘simpan kuku’.

“Siapa kata kami tidak ghairah dan bersemangat. Sebenarnya kain rentang dan sepanduk sudah siap Yob.

“Ia hanya menunggu hari dan masa untuk direntangkan di Stadium Shah Alam nanti,” katanya.

Setakat ini dianggarkan kira-kira 300 bas daripada setiap pelusuk dan daerah akan membawa peminat Perak ke Shah Alam.

Manakala ribuan lagi sudah membuat urusan untuk pergi dengan kenderaan sendiri sambil berharap mereka akan disertai oleh ramai lagi rakyat Perak yang bermastautin di Selangor dan Kuala Lumpur.

Apa yang pasti Stadium Shah Alam akan bergema dengan sokongan padu peminat Perak yang berpakaian kuning hitam yang dibekalkan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN).

Lebih daripada itu kejayaan mara ke perlawanan akhir kali ini turut membuka lembaran baru yang menyaksikan ikatan di antara peminat dengan pemain semakin kukuh.

Jika selama ini seakan wujud satu benteng pemisah di antara kedua-dua pihak kini segalanya sudah dilupakan ketika semua pihak menanam satu harapan dan impian untuk menyaksikan kejayaan Seladang.

Selepas kejayaan menyingkir Selangor dalam separuh akhir, Sabtu lalu peminat Perak berharap pemain kesayangan mereka mampu membawa pulang trofi unggul selaku juara alaf baru.