Nantha tenang nanti final

Oleh Azizan Hashim
14 October 2000

BERADA dalam pasukan yang baru dua musim lalu menjejakkan kaki ke final turut membuatkan K Nanthakumar ghairah untuk beraksi dalam perlawanan akhir pertamanya, esok.

Malah pemain itu rasa beruntung kerana demam perlawanan akhir itu tidak begitu dirasakan kerana berada dalam kelompok pemain yang sudah mengecapi suasana perlawanan akhir.

“Saya tidak berasa begitu tertekan kerana ramai pemain sudah beraksi dalam final sebelum ini.

“Malah seperti mereka saya turut berasa tenang dan yakin untuk menghadapi perlawanan ini,” katanya.

Sehubungan itu pemain berusia 23 tahun yang baru bertukar menjadi pemain profesional musim lalu itu berharap rakan sepasukan mampu membimbingnya esok untuk mempamer persembahan cemerlang.

Sebenarnya menurut pemain tengah tinggi lampai itu dia berada dalam skuad 1998 tetapi ketika itu baru menyertai latihan.

“Jadi suasana kejayaan 1998 itu sudah saya lalui walaupun tidak memberi sebarang sumbangan.

“Apapun kali ini saya terbabit secara langsung dan sudah tentu saya lebih berbangga kali ini,” katanya.

Apa yang pasti Nantha yang menjaringkan tiga gol musim ini termasuk gol kemenangan ke atas Johor di Ipoh yang membawa Perak ke suku akhir berharap mampu memberi sumbangan berkesan kepada pasukan.

Menurut pemain itu angin perubahan yang melanda Perak sejak kebelakangan ini terutama selepas kejayaan 3-0 ke atas Selangor dalam separuh akhir kedua di Ipoh, minggu lalu memberi keyakinan tambahan kepada pasukan Seladang itu.

Berikutan itu Nantha yang berasal dari Sungai Siput yakin Perak mampu memberi saingan kepada Negeri Sembilan, Ahad ini walaupun tiga kali tumpas kepada lawan yang sama musim ini.

“Kami sudah semakin menemui rentak dan keyakinan perlawanan demi perlawanan.

“Jika dilihat persembahan kami semakin bertambah baik dalam perlawanan berikutnya bermula ketika menentang Pulau Pinang dalam suku akhir.

“Selepas mara sebegini jauh dan melalui pelbagai pahit maung saya yakin kami tidak akan membiarkan lawan mudah meratah kami,” katanya.