Pemain utamakan maruah bukan insentif

PEMAIN-pemain skuad Seladang diingatkan supaya mengutamakan maruah negeri Perak dan bukannya insentif dalam menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali berkata, semangat untuk menjulang nama negeri perlu dijadikan pegangan setiap pemain ketika bertemu Negeri Sembilan.

Katanya, soal insentif tidak perlu dibincangkan lebih dulu kerana apa yang penting memastikan Piala Malaysia berada dalam genggaman Perak.

''Saya dengar banyak pihak sebut pasal insentif tetapi saya tidak mahu sebut tentangnya (lebih dulu) kerana negeri lain kena ingat, Perak bukan negeri yang miskin.

''Apa yang mereka boleh tawarkan, kita juga boleh beri. Tetapi kita tidak mahu sebut apa yang kita hendak bagi kepada pemain kita.

''Yang saya hendak, pemain itu bermain untuk negeri bukan untuk imbuhan yang mereka dapat,'' ujarnya di Ipoh, semalam.

Sehubungan itu katanya, seluruh rakyat Perak akan memberi sokongan padu kepada pasukan Perak di Stadium Shah Alam nanti termasuk, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

''Saya difahamkan Sultan Perak juga akan berangkat untuk menyaksikan perlawanan akhir itu. Oleh itu, saya minta pemain-pemain Perak bermain penuh semangat tinggi untuk menang,'' ujarnya.

Tajol menasihatkan penyokong Perak supaya menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan dapat menerima apa jua keputusan yang tercatat.

''Kalau kita menang, kita perlu bersyukur dan kalau kita kalah pun, kita perlu menerima kekalahan dengan penuh ketabahan. ''Janganlah bila kalah nanti, rejam sana, rejam sini. Kalau menang kita syukur,'' jelasnya.

 


© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.