Bakar bakal awasi kelincahan Azman

BAGI pemain pertahanan Perak, Abu Bakar Fadzim, beliau mengakui mempunyai perhitungan tersendiri dengan penyerang Negeri Sembilan, Azman Adnan.

Selain bakal mengawasi kelincahan dan kelibat Azman, Abu Bakar juga mahu mengakhiri persaingannya dengan penyerang skuad Rusa itu dengan cemerlang.

''Sebolehnya saya mahu menghalang dia daripada menjaringkan gol memandangkan dalam tiga perlawanan sebelum ini, Azman sentiasa berjaya melepasi kawalan ketat saya.

''Kali ini, saya akan habis-habisan menghalangnya walaupun pasukan kami tidak mengamalkan taktik man to man marking, ujarnya.

Abu Bakar berkata, tiada lagi rahsia antara dia dan Azman kerana masing-masing sudah mengetahui kelemahan dan kelebihan sendiri.

''Sepanjang musim ini, sayalah yang mengawalnya setiap kali Perak dan Negeri Sembilan bertemu. Kecuali sekali saya tidak diturunkan ketika bermain di Seremban pada peringkat kumpulan Piala Malaysia,'' jelasnya.

Dengan memiliki usia, pengalaman dan kelincahan yang sama, persaingan antara kedua-dua pemain dijangka menjadi tumpuan dan penentu hala tuju pasukan masing-masing untuk muncul juara.

Bagaimanapun Abu Bakar tidak menafikan bukan Azman saja yang perlu diawasi malah penyerang seperti Effendi Malek dan pemain tengah Negeri Sembilan juga mampu menjaringkan gol.

''Jadi terserahlah pada jurulatih Karl Heinz Weigang untuk mengatasi jentera serangan Negeri Sembilan kerana saya percaya dia punya strategi khas untuk menghalangnya,'' katanya.

 


© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur