PERAK JUARA PIALA MALAYSIA

 

SHAH ALAM, 15 Okt (Bernama) -- Perak adalah juara Piala Malaysia musim ini. Mereka menewaskan Negeri Sembilan 2-0 dalam pertandingan akhir di Stadium Shah Alam, di sini, malam ini.

Khalid Jamlus dan V.Saravanan menjairngkan satu gol tiap seorang pada separuh masa kedua untuk memberikan kemenangan kepada Perak yang sekaligus membenam penantian 52 tahun Negeri Sembilan untuk menjulang piala berprestij itu.

Kedua-dua pasukan bermain penuh berhati-hati pada separuh masa pertama. Negeri Sembilan seperti kehilangan punca apabila melakukan banyak kesilapan. Disebabkan itu mereka seperti sukar melancarkan gerakan ke kawasan lawan.

Bagaimanapun Negeri Sembilan hampir menjaringkan gol awal pada minit pertama. Efendi Malek yang mendapat umpanan Chow Chee Weng tersalah sepak bola dan ini tidak membimbangkan penjaga gol Perak, Tay Sin Kiat.

Disebalik persembahan kurang menarik kedua-dua pasukan, Perak mempunyai sedikit kelebihan -- mengasak lawananya dari semua sudut menyebabkan Negeri Sembilan terpaksa sibuk bertahan.

Perak juga mendapat peluang terbaik pada minit ke-3, tetapi tendangan Azrul ditolak keluar penjaga gol Mohd Hamsani. Kemudian giliran Ahmad Shahrul Azhar pada minit ke-11 tetapi tandukkannya dari hantaran lintang Chan Kok Heng terus kepada penjaga gol.

Pada minit ke-35, percubaan Chan Kok Heng dari jarak 30 ela nyaris menumpaskan penjaga gol Negeri Sembilan yang tersalah langkah, tetapi bola melepasi tiang gol.

Walaupun banyak bertahan pada separuh masa pertama, Negeri Sembilan juga memilik peluang menjaringkan gol, tetapi digagalkan oleh penyudahan yang lemah.

Efendi Malek sepatutnya boleh memperolehi gol pada minit ke-21 tetapi kurang sabar menyebabkan tendangannya melepasi palang gol.

Separuh masa kedua menyaksikan sedikit perubahan. Kedua-dua pasukan bermain secara terbuka, yang menyaksikan banyak peluang dicipta.

Negeri Sembilan kelihatan lebih tersusun pada separuh masa kedua -- melakukan serangan sebaik permainan separuh masa kedua bermula dan Azman Adnan hampir menyaksikan usahanya berjaya pada minit ke-53, tetapi penjaga gol Perak pula menghampakan percubaannya.

Selepas tersasar beberapa kali, Perak akhirnya memecahkan kebuntuan. Mereka membuatkan lawannya tergamam dengan gol Khalid Jamlus pada minit ke-65. Ia dimulakan oleh Azrul Amri Burhan yang menolak ke belakang bola kepada Khalid yang kemudian menendang kencang gagal diselamatkan penjaga gol.

Walaupun ketinggalkan satu gol, Negeri Sembilan terus bekerja keras untuk mendapat penyamaan tetapi mendapati penjaga gol Perak Tay Sin Kiat menjadi penghalang besar.

Pada minit ke-81, V.Saravanan menjadikan 2-0 untuk Perak dan kedudukan itu kekal hingga perlawanan berakhir. -- BERNAMA