Saingan penonton sama hebat

16 October 2000

PERTEMBUNGAN Negeri Sembilan dan Perak dalam final Piala Malaysia bukan setakat dalam padang tetapi turut membabitkan peminat yang mempamerkan pelbagai sepanduk dari bangku penonton.

Kalau kedua-dua pasukan bertempur 90 minit dalam padang, perang psikologi peminat untuk membangkitkan keghairahan pasukan negeri masing-masing dan melemahkan semangat lawan bermula lebih awal apabila kira-kira 40,000 penonton sudah membanjiri stadium sejak jam 6 petang lagi.

Hanya kelihatan lautan merah dan kuning dalam Stadium Shah Alam dan suasana semakin bingit menjelang wisel bermula, lebih-lebih lagi apabila skrin di stadium memaparkan aksi pasukan masing-masing dalam beberapa perlawanan terdahulu.

Suasana bingit muzik yang dipasang untuk hiburan tidak mampu menenggelamkan sorakan penyokong setiap kali sepanduk dan kain rentang yang dibawa, dipaparkan.

Dari jauh pelbagai kata-kata semangat dan keyakinan untuk membawa pulang Piala Malaysia dilahirkan peminat dapat dilihat, dari mesej secara terus hinggalah perkataan berirama mengikut dialek negeri masing-masing.
Antara mesej berirama dari penyokong Negeri Sembilan ialah: ‘1,2,3,4...Piala Malaysia Nogori 9 Dapat’ dan ‘Sosah Jang Sosah, Piala malaysia Milik Kito’.

Ada juga melahirkan kata-kata bernada semangat seperti: ‘Setelah 52 Tahun, Rusa Bangkit’ dan ‘Piala Malaysia Nogori 9 Punya’.

Tetapi lebih banyak mengucapkannya secara terus seperti ‘Tahun Ini Tahun Untuk Rusa Bergelar Juara Piala Malaysia’ dan ‘Kami Mendoakan Kejayaan Skuad Hobin Jang Hobin’.

Tidak mahu kalah dengan apa yang direntang oleh penyokong Negeri Sembilan, penyokong Perak tampil dengan kata-kata lebih kreatif lagi ‘Skor Yop Skor, Skor Yop Skor’ dan ‘Perak Datang Lagi, Kali Ini Rusa Mangsa Kami’.
Malah Ada juga yang tidak mahu melupakan jasa jurulatihnya dari Jerman, Karl Heinz Weigang, dengan sepanduk berbunyi: ‘Weigang Bak Seladang, Perak pasti Menang’.

Antara kain rentang yang menyampaikan kata-kata semangat ialah: ‘Perak Juara Alaf Baru’; ‘Perak Rampas Semula Piala Malaysia’ dan ‘Sejarah 98 Pasti Berulang’.

Selepas berpuas dengan sepanduk, ribuan penyokong yang dipisahkan tempat duduk terus menggamatkan suasana final dengan membuat Ombak Manusia secara bergilir-gilir.

Paling gamat apabila pemain daripada kedua-dua pasukan memasuki padang pada kira-kira jam 7 malam untuk memeriksa keadaan padang, sambil melambai-lambai ke arah penyokong masing-masing.

Selepas itu kira-kira jam 7.30 malam, Ratu jazz Sheila Majid meredakan keghairahan penyokong kedua-dua pasukan apabila menyampaikan beberapa buah lagi hitsnya di sebuah pentas berhampiran bangku pemain.

Tidak dinafikan, suasana final Piala Malaysia musim 2000 semalam adalah paling meriah pernah disaksikan