Shahrul pemain terbaik final

16 October 2000

KETUA pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar - pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia - menyifatkan anugerah yang diterimanya adalah satu kejayaan besar bukan sahaja buat dirinya, tetapi juga Perak.

“Saya terharu dan bersyukur di atas anugerah yang diberikan ini. Saya tidak menjangka menerima anugerah ini kerana semua pemain Perak beraksi begitu baik dan mereka juga layak menerima pengiktirafan tertinggi ini.
“Apapun, saya gembira kerana anugerah ini menguatkan azam saya untuk memberikan persembahan lebih baik bersama pasukan kebangsaan dalam kejohanan Piala Tiger bulan depan.

“Tetapi, buat masa ini, anugerah ini juga milik rakan sepasukan. Tanpa mereka, saya tidak boleh beraksi cemerlang,” katanya selepas perlawanan menentang Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ahmad Shahrul menjadi tunjang pertahanan Perak apabila beberapa kali menggagalkan serangan lawan yang diterajui Azman Adnan.

Malah, kawalan kemas ketua pasukan Perak itu membolehkan Perak bertahan begitu kukuh dalam 10 minit pertama babak kedua apabila Negeri Sembilan begitu garang mengasak.

Ahmad Shahrul berpendapat Perak, bermain begitu baik dan mereka berhak meraih gelaran selaku jaguh bola sepak tempatan.

“Walaupun kami diasak dalam babak kedua rakan-rakan saya menunjukkan kekentalan untuk bertahan tanpa memberi ruang kepada lawan menembusi benteng kami.

“Ini adalah kejayaan manis untuk kami kerana pemain menunjukkan persefahaman. Selain itu, sokongan padu penonton Perak turut menguatkan azam kami untuk memberikan yang terbaik dan seterusnya menghasilkan kejayaan gemilang malam ini.

“Saya bersyukur dengan kejayaan ini dan berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong pasukan Perak,” katanya.