Weigang buktikan dia terbaik

16 October 2000

“SAYA sudah buktikan diri sebagai jurulatih yang berjaya.”

Kenyataan itu dituturkan jurulatih Perak, Karl Heinz Weigang, selepas anak buahnya merealitikan dakapan gelaran kedua Piala Malaysia dalam tempoh tiga tahun, malam tadi.

“Ini adalah final kelima saya di Malaysia. Dan dalam kelima-limanya, saya berjaya muncul sebagai pengemudi barisan yang berjaya,” tegasnya.

Kali pertama Weigang melakar gemilang di Malaysia ialah ketika mengemudi Vietnam muncul juara Pestabola Merdeka 1966. Kali kedua ketika final Sukan Sea 1977 ketika Malaysia menundukkan Thailand 2-0.

Kemunculan di final ketiga ialah ketika bersama Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow sementara kejayaan keempat menyusul di Stadium Nasional, Bukit Jalil, dua tahun lalu.

“Saya percaya, dengan kemenangan ini, pemain saya sudah membuktikan bahawa bola sepak di Malaysia mampu menghasilkan tahap aksi memuaskan.

“Namun pujian tetap saya hulurkan kepada Zaki (Sheikh Ahmad) kerana apa yang sudah berjaya dilakukannya untuk Negeri Sembilan. Bezanya, malam ini kami tidak membenarkan ruang dan peluang untuk mereka mengamal rentak sebenar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, mengumumkan hasrat untuk mengundurkan diri daripada terus memikul watak utama dalam menguruskan pasukan Perak.

“Saya rasa dua gelaran ini sudah memuaskan. Saya berhasrat untuk mengundur diri daripada tugas pengurusan pasukan,” katanya.

Namun Raja Ahmad tetap akan terus menyandang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).