80,000 banjiri Stadium Shah Alam

LAUTAN ombak manusia menggamatkan suasana meriah pada perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-34 dan yang pertama di abad ke-21 dengan menyaksikan juga kehadiran kira-kira 80,000 penonton yang terdiri daripada penyokong pasukan Perak dan Negeri Sembilan.

Suasana hingar-bingar sejak pukul 7.30 malam semalam, memberi gambaran betapa ghairahnya kedua-dua penyokong pasukan ini untuk meletakkan pasukan masing-masing mencipta kemenangan pertama di alaf baru ini.

Pelbagai sepanduk yang tertera kata-kata semangat seperti Rusa Totap Berbiso dan Skor Yop Skor, diselang selikan dengan bendera kedua-dua negeri menampakkan suasana cukup meriah di setiap pelusuk Stadium Shah Alam, tempat berlangsungnya perlawanan akhir ini.

Pelbagai gelagat terbit dari tempat duduk penonton kedua-dua pasukan sebaik sahaja pemain mula masuk ke padang pada pukul 8 malam untuk memanaskan badan termasuklah melakukan alunan ombak manusia ifmexican wave.

Penyokong Perak yang ditempatkan sebelah kanan pentas utama mengenakan baju berwarna kuning, putih dan hitam, sementara penyokong Negeri Sembilan ditempatkan di sebelah kiri dengan baju berwarna merah, hitam dan kuning.

Kira-kira pukul 8.35 malam, pemain berjalan masuk ke padang dengan didahului pembawa bendera Fair Play (permainan bersih) serta diperkenalkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang datang dengan ditemani Raja Pemaisuri Tuanku Siti Aishah, tidak mahu ketinggalan untuk turut sama memeriahkan pertemuan bagi merebut piala keramat itu.

Antara penonton kehormat semalam termasuklah kerabat diraja Perak, kerabat diraja Negeri Sembilan, dan beberapa orang menteri kabinet.

Peminat Perak ada yang datang dengan 'bertanduk' Seladang dan menconteng muka masing-masing dengan warna kuning, hitam dan putih sementara peminat Negeri Sembilan yang berada di sebelah yang bertentangan, tidak kalah dengan baju tertera perkataan 'Nogori Boleh'.

Masing-masing mahu terkedepan dalam menunjukkan sokongan kepada pasukan pujaan mereka.

Kemeriahan di Stadium Shah Alam sudah pun bermula sejak pagi semalam apabila pelbagai aktiviti diatur melalui karnival Fiesta Bola Sepak di perkarangan stadium yang melibatkan selebriti dan peminat.

 


© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.