HABUAN LUMAYAN MENANTI SKUAD PERAK


JUARA TAHUN INI... Ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar menjulang Piala Malaysia setelah menerimanya daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahhuddin Abdul Aziz Shah di sini, malam tadi. Perak mengalahkan Negeri Sembilan 2-0 di Perlawanan Akhir Bolasepak Piala Malaysia 2000 di Stadium Shah Alam.

 
 

 

SHAH ALAM, 16 Okt (Bernama) -- Perak mengotakan janjinya. Mereka tidak pulang tangan kosong dan sokongan yang diberikan oleh penyokongnya yang telah tiba di Ibu Negara sejak pukul 7 pagi semalam telah dibalas dengan kemenangan menjadi juara Piala Malaysia.

Mereka menewaskan Negeri Sembilan 2-0 pada perlawanan akhir yang penuh dengan aksi yang mendebarkan.

Di samping kejayaan itu, ketua pasukannya Ahmad Shahrul Azhar Soffian dipilih sebagai pemain terbaik.

Kehadiran Sultan Perak Sultan Azlan Shah bagaikan sudah menjanjikan kemenangan kepada skuad seladang itu yang begitu mudah membenam cabaran Negeri Sembilan yang turut berbangga menjejaki kaki ke perlawanan akhir setelah 52 tahun menantinya.

Kemenangan ini pastinya menghadirkan habuan lumayan kepada para pemain Perak dan pengurus pasukan Datuk Raja Ahmad Zainuddin sedang memikirkan sesuatu sebagai hadiah bonus kepada kejayaan ini.

"Saya akan bincangkan bentuk ganjaran dengan Menteri Besar terlebih dahulu sebelum mengumumkannya," katanya.

Kejayaan merangkul Piala Malaysia kali ini adalah yang terakhir bagi beliau dan akan bersara daripada terus menerajui Perak.

"Saya sudah penat dan sudah lama bergelumang dengan bola sepak. Biarlah orang lain dan tenaga muda pula mengambil alih...seterusnya mengekalkan kecemerlangan yang telah dicapai oleh pasukan ini," katanya.

Bagi jurulatih, Karl Weigang pula, beliau menyifatkan kejayaan ini sebagai tambahan kepada koleksi piala pasukan Perak.

"Para pemain telah bermain seperti yang dijangka. Saya bangga dengan mereka," kata jurulatih Perak," Karl Weigang.

Jurulatih Negeri Sembilan Zaki Sheikh Ahmad yang terpaksa menerima kekalahan itu menyatakan barisan tengah gagal mempamerkan permainan yang diharapkan.

"Sebelum perlawanan pun saya sudah menjangkakan bahawa mana-mana pasukan yang mencipta lebih peluang akan berjaya...bagi pasukan Negeri Sembilan...kita mempunyai peluang tetapi gagal menyempurnakannya," kata Zaki.

Walaupun kalah, perlawanan hari ini memberi pengajaran berguna kepada para pemain dan saya percaya dengan adunan pemain lama dan baru Negeri Sembilan mampu mencipta kejayaan pada masa depan, jelasnya.

Ketua pasukan Ahmad Shahrul Azhar yang muncul pemain terbaik perlawanan akhir menyatakan bahawa kemenangan ini amat bermakna kepada Perak yang telah tewas dua kali dalam saingan Piala Malaysia kepada Negeri Sembilan pada peringkat kumpulan sebelum ini.

"Bukan senang untuk kami menewaskan Negeri Sembilan yang mempunyai rekod cemerlang sepanjang Piala Malaysia. Kejayaan dan anugerah yang saya terima adalah hasil kerjasama semua pemain untuk memastikan piala ini menjadi milik Perak," kata Shahrul.

--BERNAMA