Khalid anggap hutang sudah langsai

17 October 2000

TIDAK sukar untuk Khalid Jamlus menyingkap makna kejayaan sulung peribadi bergelar juara Piala Malaysia, malam kelmarin.

“Kemenangan ini menghasilkan kepuasan tidak terhingga. Kerana saya berjaya membuktikan memang memiliki kemampuan terbaik untuk membalas kepercayaan yang diberikan Perak.

“Ia juga, saya harap, mampu menjadi penghapus segala kecaman sebelum ini,” tegasnya.

Pengakuan itu jelas amat mendalam kesannya kerana sepanjang tempoh musim Liga Malaysia 2000, Khalid ibarat sasaran kecaman paling popular untuk ribuan penyokong Perak.

Apa yang tambah menyedihkan, bukan hanya Khalid jadi sasaran. Keluarganya, terutama ibu - Khatijah Bibi - kerap menjadi sasaran kecaman mengandungi pelbagai kenyataan kesat yang dihamburkan penyokong.

“Saya gembira berjaya menunaikan harapan ibu. Dia amat teringinkan Piala Malaysia. Selepas dua tahun lalu terlepas peluang kerana masih bersama skuad Olimpik, kejayaan kali ini memang bermakna,” katanya.

Sumbangan jaringan pertama malam tadi juga sebenarnya adalah pelengkap kebangkitannya.

Kerana selepas dilemparkan kecaman untuk tempoh hampir keseluruhan Perdana Satu, Khalid memilih pentas Piala Malaysia sebagai medan untuknya membuktikan kehebatan diri.

Ia bermula dengan sumbangan gol pentingnya ketika Perak menyingkirkan Pulau Pinang di suku akhir. Dan dua jaringan untuk meletakkan Perak kembali berkelebihan mengatasi Selangor di separuh akhir, membolehkan segala kecaman bertukar menjadi pujian.

Dan malam kelmarin, sumbangan gol pertamanya - ketika Perak sebelumnya tekun menyerap segala asakan lawan - mengakibatkan Negeri Sembilan mula ketara gementar.

Belum cukup dengan itu, lorongannya untuk membebaskan V Saravanan yang mencipta gol kedua, tambah memaniskan pengalaman di final.

“Saya akan ingat final ini sebagai perlawanan paling bermakna. Saya bersyukur kerana hasil sokongan segala pihak, saya berjaya untuk menukar pengalaman perit menjadi catatan yang menggembirakan,” katanya.

Juga, Khalid tidak lupa menuturkan rasa penghargaan buat seseorang yang istimewa dalam hidupnya.

“Sudah lima tahun dia setia memberikan sokongan. Saya gembira kerana hasil dorongannya - selain yang diberikan keluarga - saya kini berjaya juga memenangi Piala Malaysia,” katanya.

Cuma, Khalid belum mahu mendedahkan identiti insan pendorong istimewanya.