Weigang masih terkilan di sebalik senyuman

17 October 2000

DALAM gembira, masih ada kesempatan berjaya dimanfaatkan Karl Heinz Weigang buat meluahkan segala kemarahan yang membara dalam sanubari.

“Saya percaya, dengan kemenangan ini, pemain saya sudah membuktikan bahawa bola sepak di Malaysia mampu menghasilkan tahap aksi memuaskan.”

Kenyataan itu, sebenarnya, mengandungi makna tersirat yang menuntut pengertian lebih mendalam.

Kerana Weigang – dengan kejayaan mengemudi Perak memenangi gelaran kedua dalam tempoh tiga tahun terakhir – mahu membuktikan betapa dia masih memiliki sentuhan hebat buat menyelamatkan maruah bola sepak negara.

Cuma, peluang kedua tidak pernah menjelma semenjak dia meninggalkan Malaysia dengan lakaran gemilang terakhir hasil kemampuan melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Bukan rahsia, keinginan mengisi jawatan pengendali negara sentiasa ada dalam sanubarinya.

Pada 1994, Weigang pernah menawarkan diri untuk melatih skuad muda untuk Kejohanan Piala Belia Dunia.

Namun selepas dijanjikan sebagai antara dua calon dalam pertimbangan – selain Carlos Queroz dari Portugal – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghiris hatinya dengan tindakan melantik Hatem Souissi mengisi jawatan berkenaan.

Akibat kemarahan itu, Weigang memilih Vietnam sebagai destinasi menyumbang khidmat. Dan sepanjang tempoh bersama skuad itu, dia meraih kepuasan paling bermakna apabila menundukkan Malaysia – ketika itu dikendalikan Claude Le Roy – ketika Sukan Sea 1995 di Chiangmai.

Di Chiangmai juga, Weigang meluahkan kemarahan dengan kenyataan betapa walau dibayar RM1 juta sebulan sekalipun, dia tidak akan mahu mengisi jawatan jurulatih negara.

Kenyataan itu, diakuinya kemudian hari, gagal difahami FAM. Kerana Weigang membayangkan betapa cinta kepada Malaysia memungkinkan khidmatnya mampu diperolehi walau tanpa sesen bayaran sekalipun.

Semua itu kerana Weigang – kini anggota panel kejurulatihan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) – menganggap Malaysia sebagai rumah keduanya selain Jerman sebagai negara kelahirannya.

Atas alasan itu jugalah, Weigang sentiasa mahu kembali ke Malaysia. Malah bukti betapa Malaysia sentiasa di hati ialah kesanggupannya menerajui Perak biarpun tanpa sebarang kontrak bayaran yang tetap.

Memang wang bukan masalah buat Weigang – jurulatih berkelulusan ijazah Kejuruteraan Mekanikal yang dilahirkan dalam keluarga pemilik kilang di Ruhr Valley di utara Jerman.

Tapi penghalang untuknya kembali – dan diterima semula FAM – mungkin akibat sikap tidak takut bersuara lantang terhadap segala yang tidak dipersetujuinya.

“Sejak kecil, ibu bapa saya mengajar menggunakan deria yang ada. Dua mata untuk melihat, dua telinga mendengar dan mulut untuk bercakap. Saya juga dikurniakan otak untuk berfikir. Dan saya diajar menggunakannya buat memperbetulkan segala yang tidak kena.”

Mungkin kerana itu, namanya ibarat tidak wujud lagi dalam pertimbangan FAM. Tapi dengan kemerosotan kini meletakkan martabat negara di lembah hina, mungkin Weigang jawapan terhadap segala pencarian selama ini.

Kerana Weigang sendiri sebenarnya sudah lama menanti.
Dan buat FAM – tidak lagi mampu menafikan kemampuannya mengemudi Perak dua kali merangkul Piala Malaysia – mungkin sudah sampai masa mengetepikan keangkuhan beralaskan alasan hanya mereka ketahui itu demi mencari sinar yang sekian lama dinantikan bola sepak negara.