Contohi sikap tertib penyokong Negeri Sembilan, Perak

Oleh RAZALI YAHYA
21 October 2000

HARI ini sudah seminggu pertandingan akhir bola sepak Piala Malaysia melabuhkan tirainya dan sekali gus kita semua sudah pun mengetahui bahawa Perak muncul juara alaf baru selepas menumpaskan Negeri Sembilan 2-0 dalam perlawanan penuh mendebarkan di Stadium Shah Alam itu.
Rasanya belum terlambat untuk mengucapkan sekalung tahniah kepada Perak atas kejayaan menjadi juara. Bagi Negeri Sembilan, kita turut mengucapkan syabas kerana memberi persembahan cukup bertenaga sebelum tunduk kepada pasukan yang lebih baik.
Bagi negeri yang bergelar Seladang, Perak tidak harus cepat mendabik dada di atas kejayaan manis itu, sebaliknya semua pemain dan pegawai pasukan negeri harus menjadikan kejayaan itu sebagai pemangkin ke arah mengekalkan kejuaraan yang disandang itu pada saingan musim depan.
Sesungguhnya, kejayaan yang dikecapi oleh pasukan Seladang itu adalah kejayaan bagi seluruh rakyat Perak. Apa tidaknya, selepas muncul juara, Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali telah mengumumkan cuti umum sehari bagi negeri itu sebagai menghargai sokongan padu rakyat terhadap pasukan kesayangan mereka.
Sudah menjadi lumrah, pasukan yang menang akan terus disanjung dan mendapat pujian menggunung. Justeru itu, pemain-pemain Perak tidak terkecuali, dan lebih daripada itu mereka difahamkan akan mendapat imbuhan daripada pelbagai pihak sebagai menghargai kejayaan mengharumkan nama negeri. Memang patut pun mereka mendapat imbuhan itu kerana perjuangan atas nama negeri bernama Perak. Syabas kita ucapkan.
Begitupun, kita cuma mahu memberi peringatan kepada pemain-pemain Perak agar tidak terus terlena atau ‘mabuk’ dibuai dek pelbagai ganjaran. Kadang-kadang kerana terlalu seronok disogokkan dengan pelbagai imbuhan, seseorang itu boleh ‘lupa diri’ atau hilang pedoman. Inilah yang kita risaukan. Ini bukan bermakna kita mahu menghalang atau menyekat mereka daripada bersuka-suka merayakan kejayaan atau menerima imbuhan, tetapi sambutan dan pemberian imbuhan itu biarlah berpada-pada dan jangan sampai boleh ‘menggelapkan’ mata mereka kerana perjuangan bola sepak siri Piala Malaysia tidak pernah terhenti dan ia menuntut pemain terus berjuang bagi musim berikutnya.
Apa yang penting, semua pemain Perak seharusnya menjadikan segala imbuhan yang datang dan yang bakal diterima, sebagai ‘tonik’ untuk terus bangkit dalam usaha mengekalkan reputasi sebagai pasukan negeri terbaik di Malaysia. Ini kerana tugas mereka pada musim depan bukanlah mudah kerana mempertahankan kejuaraan adalah cukup berat daripada memburu kejayaan. Tugas mereka musim depan ibarat ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Justeru itu, sebagai juara Piala Malaysia alaf baru, Perak harus menggandakan usaha dan latihan pasukan negeri perlu diteruskan daripada sekarang bagi menjamin Perak dapat bertahan sebagai jagoan pada musim depan. Jika tidak, kedudukan sebagai jaguh akan tergugat dan kejuaraan akan terlepas daripada genggaman kerana pasukan-pasukan negeri yang lain memang ‘cemburu’ dan mereka sememangnya berazam untuk mengatasi Perak musim depan.
Memperkatakan mengenai kejayaan Perak sahaja dalam ruangan ini memang tidak adil. Bagi pasukan yang lebih popular dengan panggilan ‘Rusa’, kekalahan pada perlawanan akhir Ahad lalu di Stadium Shah Alam memang pahit untuk ditelan. Apa tidaknya. Pasukan Negeri Sembilan kali ini mempunyai tekad yang bukan kepalang iaitu mahu menamatkan kemarau 52 tahun menjadi juara. Kali terakhir pasukan negeri itu muncul juara Piala HMS Malaya pada 1948.
Memang Negeri Sembilan cukup kempunan. Selepas mempersembahkan semangat perjuangan kental dalam saingan awal sebelum melangkah kaki ke final, pemain-pemain Negeri Sembilan seolah-olah hilang arah atau tidak keruan dan kita sama sekali semacam tidak percaya mereka bermain di bawah keupayaan sebenar. Menyaksikan persembahan mereka yang cukup mantap pada saingan suku akhir dan separuh akhir, rata-rata ramai memilih pasukan Rusa itu mampu muncul juara.
Dalam ulasan-ulasan yang dibuat selepas perlawanan akhir Ahad lalu, kita memang setuju dengan pendapat bahawa faktor kurang pengalaman bertarung di final oleh sebilangan besar pemain pasukan Negeri Sembilan adalah jurang pemisah yang menyebabkan mereka sukar menyaingi kehebatan Perak yang berpengalaman itu.
Begitupun, pemain-pemain Negeri Sembilan tidak usah terlalu kecewa selepas gagal menggalas cabaran bagi melakar sejarah selepas penantian 52 tahun untuk keluar sebagai juara. Anda semua sudah berjuang dan telah memberikan yang terbaik tetapi Perak berhak memenangi perlawanan itu.
Siapa di antara pemain Rusa yang tidak sedih dengan kegagalan itu. Jika ada pemain terpaksa menahan sebak kerana terkilan mencipta sejarah, ribuan penyokong pasukan negeri yang membanjiri Stadium Shah Alam pada malam itu, ada yang menangis teresak-esak kerana tidak menyangka pasukan kesayangan mereka boleh kalah dengan mudah kepada Perak.
Itulah namanya belum ada rezeki bagi pasukan Negeri Sembilan. Melihat kepada kesungguhan mereka sebelum ke final, ramai setuju juara pasti menjadi milik mereka. Mereka harus menjadikan berita kekalahan itu untuk bertindak lebih bersemangat memburu kejayaan pada musim depan. Ingatlah ‘usaha itu tangga kejayaan’. Bukan bermakna kekalahan Ahad lalu telah menutup sama sekali peluang Negeri Sembilan untuk mengecap kejayaan lebih bermakna musim depan. Sebaliknya, kegagalan itu akan menguatkan semangat semua pemain untuk bekerja keras dalam memburu kejuaraan Piala Malaysia musim 2001.
Apapun, baik pemain Negeri Sembilan mahupun Perak, mereka seharusnya diberi pujian kerana bukan sahaja telah menunjukkan semangat perjuangan kental tetapi telah mempamerkan satu permainan penuh ‘sporting’ tanpa mencetuskan perangai buruk pada perlawanan akhir.
Bukan sahaja pemain Negeri Sembilan dan Perak telah menunjukkan permainan bola sepak dengan semangat kesukanan yang tinggi, malah penyokong kedua-dua pasukan juga harus menerima pujian kerana tidak menimbulkan perangai buruk yang boleh menjejaskan keharmonian perlawanan akhir Ahad lalu. Apa yang pasti, perlawanan akhir itu dapat berjalan dengan lancar dan penuh tertib. Sekalipun masih ramai penyokong tidak dapat masuk ke stadium, mereka masih boleh duduk bersama di luar stadium menyaksikan perlawanan menerusi layar gergasi yang disediakan.
Sikap inilah perlu dikekalkan dan patut menjadi contoh kepada penyokong-penyokong pasukan negeri lain terutamanya dari Kelantan dan Sarawak. Betapa tidaknya. Kita lihatlah sendiri insiden mengaibkan yang berlaku dalam perlawanan Sarawak dengan Negeri Sembilan pada separuh akhir pertama di Stadium Negeri, Kuching dan satu lagi ketika Negeri Sembilan menentang Kelantan di Kota Bharu, pada suku akhir kedua kejohanan yang sama.
Insiden di Kuching menyaksikan sebahagian besar penonton bertindak membaling objek berupa botol plastik minuman dan serpihan kerusi yang dirosakkan selepas perlawanan berkesudahan Sarawak kecundang 1-2.
Di Kota Bharu pula, turut menyaksikan insiden yang mirip di Kuching. Selain meletupkan bunga api, pegawai-pegawai Negeri Sembilan turut melahirkan rasa kesal berikutan tindakan kasar pemain tuan rumah terhadap pemain pelawat itu.
Itulah yang kita katakan dulu, apabila manusia tidak berupaya menggunakan akal dengan sempurna, mereka akan bertindak di luar tabii kejadian manusia. Tindak tanduk di dua tempat itu memberi gambaran seolah-olah sudah tidak bertamudun.
Penyokong Perak dan Negeri Sembilan telah membuktikan tata susila ketimuran memang tersemai di sanubari mereka. Justeru itu, mereka sewajarnya berhak mendapat pujian. Kalau mereka boleh berbuat kebaikkan, mengapa penyokong pasukan negeri lain tidak boleh bersikap demikian? Tidak ada untungnya kita membangkit perkara buruk yang hujung-hujung akan memalukan kita semua rakyat Malaysia.

(Razali Yahaya ialah Pengarang Sukan Berita Harian)