FAM NAFI TIDAK ENDAHKAN WEIGANG

 

 

KUANTAN, 19 Okt (Bernama) -- Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah menolak dakwaan bahawa badan kebangsaan itu pernah tidak mengendahkan cadangan jurulatih Perak Karl Weigang untuk memimpin pasukan bola sepak kebangsaan.

"Weigang kata FAM tidak mengendahkannya. Ini tidak benar... saya tidak menerima sebarang surat daripadanya... Semua orang boleh mendakwa mereka telah menghantar surat ini dan surat itu," katanya selepas merasmikan Cabaran Payung Terjun Antarabangsa Pahang 2000 di sini.

Sultan Ahmad Shah diminta mengulas dakwaan Weigang bahawa beliau telah menulis surat kepada timbalan presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 1992 menawarkan perkhidmatannya kepada Malaysia.

Ditanya sama ada FAM akan menimbang semula untuk memilih rakyat Jerman itu sebagai jurulatih, Sultan Ahmad Shah berkata tiada apa yang hendak ditimbangkan dan perkara itu tidak pernah dikemukakan kepada beliau.

Sultan Ahmad Shah mempersoalkan mengapa FAM perlu memilih Weigang sebagai jurulatih sedangkan keutamaan diberikan kepada jurulatih tempatan bagi mengendalikan pasukan bola sepak kebangsaan.

"Apa yang tidak kena dengan jurulatih tempatan untuk mengendalikan pasukan kebangsaan... Kita mesti menggalakkan mereka untuk mengurus pasukan kebangsaan pada satu hari...Jika tidak bagaimana kita hendak mencungkil jurulatih tempatan yang berkaliber?" tanyanya.

Sultan Ahmad Shah berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian pasukan-pasukan yang mengambil bahagian dalam pertandingan Piala Malaysia dan pujian patut diberikan kepada jurulatih pasukan Negeri Sembilan Mohamed Zaki Sheikh Ahmad kerana keupayaannya membimbing pasukan muda walaupun berakhir sebagai pasukan kedua terbaik.

Mengenai tugas Abdul Rahman Ibrahim sebagai jurulatih pasukan kebangsaan yang akan tamat tempohnya akhir tahun ini, beliau berkata FAM akan menimbang sama ada untuk melanjut atau menamatkan perkhidmatan beliau selepas mengkaji pencapaian keseluruhannya termasuk Piala Tiger yang bermula di Bangkok bulan depan.

Abdul Rahman yang membimbing pasukan Terengganu ke pertandingan akhir Piala Malaysia 1998 dilantik sebagai jurulatih kebangsaan pada awal 1999 menggantikan Hatem Souissi dari Tunisia.

Ditanya sama ada FAM meluluskan kemasukan semula pemain asing pada liga selepas dua musim, Sultan Ahmad Shah berkata perkara itu belum dibincangkan secara terperinci dan FAM tidak akan membuat keputusan terburu-buru mengenainya.

"Kami menggalakkan pemain muda untuk mewakili pasukan negeri masing-masing seperti pasukan Negeri Sembilan. Saya adalah seorang pemain bola sepak dan bekas pemain bola sepak dan saya mengetahuinya. Saya bukan pakar tetapi saya tahu apa yang baik dan tidak.

"Lagi pun ada banyak masa untuk memutuskan sehingga tahun depan. Kami sedang melakukan yang terbaik tetapi setiap orang boleh membuat kesilapan," katanya.

-- BERNAMA