Majlis kejayaan Perak terjejas

Oleh Azizan Hashim
24 October 2000

RUMAH sudah siap tetapi pahat masih berbunyi! Begitulah keadaan yang berlaku selepas majlis meraikan kejayaan pasukan Perak menjuarai Piala Malaysia 2000 di Stadium Perak, Sabtu lalu.

Di sebalik suasana meriah yang disaksikan oleh kira-kira 15,000 penonton rupa-rupanya terdapat kepincangan apabila ramai ahli majlis Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) tidak hadir pada program itu.

Kecuali dua orang iaitu Bendahari, Amaluddin Ismail dan seorang ahli majlis, Datuk Ismail Mokhtar Mohd Noor, manakala jawatankuasa PFA lain tidak kelihatan di kalangan orang kenamaan.

Berikutan itu kini berlaku tuduh menuduh antara PFA dengan penganjur majlis iaitu Majlis Sukan Negeri (MSN) mengenai isu berkenaan.

PFA mendakwa MSN tidak menjemput jawatankuasanya ke majlis itu menyebabkan ramai ahli majlis tidak datang.

Malah kehadiran Amaluddin dan Datuk Ismail Mokhtar juga dikatakan kerana ‘terpaksa’.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Manusia, Belia dan Sukan Negeri (Exco), Jamal Nasir Rasdi mempertahan MSN dengan mendakwa perkara itu berlaku gara-gara setiausaha PFA itu.

“Hadi sudah dimaklumkan mengenai program yang akan diadakan semasa perbincangan di hotel selepas final, Ahad lalu.

“Malah dia juga telah diberitahu tentang mesyuarat yang akan diadakan pada hari Selasa tetapi malangnya tidak hadir perjumpaan itu,” katanya .

Menurut Jamal Nasir lagi setiausaha PFA itu juga langsung tidak membangkitkan isu jemputan kepada ahli majlis persatuan itu dalam mesyuarat kedua pada hari Khamis.

“MSN juga menunggu senarai nama ahli majlis PFA untuk dihantar kad jemputan tetapi hingga ke saat akhir gagal memperolehinya,” katanya.

Jamal Nasir nyata kesal dengan perkara yang berlaku kerana berpendapat selaku setiausaha, seseorang itu harus cekap serta pantas bertindak.

Apapun Jamal Nasir gembira dengan kejayaan majlis itu yang mendapat sambutan hangat daripada rakyat negeri Perak.

“Saya rasa ia satu detik bersejarah buat pemain serta rakyat negeri ini.
“Suasana kegembiraan tetap dirasakan walaupun telah hampir seminggu Perak berjaya menjulang piala unggul itu,” katanya.

Apa yang pasti, Jamal Nasir berkata, MSN akan memainkan peranannya untuk membantu PFA terutama dari segi kewangan di masa akan datang.