Weigang beri syarat pada PAFA

BERBEKALKAN kejayaan membawa Perak menjuarai Piala Malaysia, jurulatih Karl Heinz Weigang pantas meletakkan syarat kepada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) jika mahu khidmatnya diteruskan.

Selain mahu kontraknya dikaji semula, jurulatih dari Jerman itu juga meminta lebih banyak kemudahan dan faedah lain diberikan kepadanya.

Buat masa ini, syarat-syarat kontrak baru itu telah pun diserahkan kepada PAFA untuk dinilai sebelum kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

Naib Presiden PAFA, Jamal Nasir Rasdi ketika ditemui mengesahkan sudah menerima syarat-syarat kontrak yang ditetapkan Weigang itu.

''Kita akan kaji permintaan Weigang itu kerana kita mahu dia terus kekal di negeri ini. Tetapi saya tidak boleh mendedahkannya kepada umum,'' ujarnya.

Weigang dikatakan tidak mempunyai kontrak langsung dengan PAFA tetapi menawarkan khidmatnya atas dasar hubungan baiknya dengan pasukan negeri ini. Dia yang menggantikan Tornstern Spittler secara mengejut di pertengahan musim berjaya meletakkan Perak kembali ke landasan sebenar selepas Perak terumbang-ambing di bawah kendalian Spittler.

Mengenai kontrak Mohd. Noor Derus dan Shahrulnizam Sahat yang diketepikan akibat perselisihan dengan Weigang, Jamal Nasir berkata, PAFA tidak bercadang menamatkan terus kontrak kedua-dua pemain itu.

''Saya akan mengadakan pertemuan dari hati ke hati dengan kedua-dua pemain itu bagi meleraikan kekusutan dan rasa tidak puas hati yang timbul.

''Jika mereka masih mahu kekal kita akan terima tetapi jika mereka mahu berhijrah ke pasukan lain, kita akan melepaskan mereka secara baik,'' jelasnya.