KENYATAAN JAMAL JADI TANDATANYA

Azizan Hashim
26 October 2000

KONTRAK dua pemain, Mohd Noor Derus dan Sharulnizam Sahat sudah ditamatkan oleh Persatuan Bola Sepak Perak (PFA).
Berikutan itu persatuan itu sudah tiada sebarang kaitan dengan kedua-dua pemain itu lagi.

Justeru itu, seorang jurucakap PFA terkejut apabila Naib Presiden badan itu, Jamal Nasir Rasdi ingin mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pemain mengenai kedudukan mereka.
“Bincang apa lagi kerana mereka yang bersetuju supaya kontrak mereka ditamatkan.
“Lagipun tindakan itu dibuat atas desakan kuat jurulatih, Karl Heinz Weigang sendiri,” katanya mengulas kenyataan yang muncul dalam sebuah akhbar harian itu .Mohd Nor dan Shahrulnizam yang masing-masing menyertai skuad Seladang itu musim ini dari Terengganu dan Pahang dikenakan tindakan oleh Weigang berikutan sumbangan hambar dalam liga dan Piala Malaysia, musim ini.

Mohd Noor digantung pada penghujung saingan liga dan hanya dilepaskan ketika pasukan itu berehat selepas perlawanan terakhir liga di Ipoh.
Manakala Sharulnizam yang dipersalahkan kerana melakukan kesilapan yang sama dalam dua pertemuan dengan Negeri Sembilan pada saingan kumpulan dalam Piala Malaysia terus dibekukan oleh Weigang.
Perak tumpas 1-3 di Ipoh pada saingan pertama dan 0-3 dalam pertemuan kedua di Paroi.

Walaupun dalam keadan terdesak, Shahrulnizam dan Mohd Noor terus diketepikan sehinggalah Perak muncul juara dengan menumpaskan pasukan Hoben Jang Hoben itu 2-0 di Stadium Shah Alam dalam final, 15 Oktober lalu Berdasarkan fakta sebenar, bererti Jamal Nasir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Manusia, Belia dan Sukan sudah membuat kenyataan yang silap.
Berikutan itu Naib Presiden PFA itu dikatakan akan mengakaji segalam permohonan dan permintaan jurulatih berbangsa Jerman itu kerana Perak mahu mengekalkan khidmatnya.
Malah tindakannya membuat kenyataan itu mengejutkan ramai peminat bola sepak yang tertanya-tanya apa telah terjadi kepada pengurusan PFA.

“Bagaimana Jamal Nasir boleh membuat kenyataan sedangkan selama ini urusan pasukan adalah tanggungjawab pengurusan pasukan terutama timbalan Presiden PFA (Raja Ahmad),” tanya seorang peminat.
Selain akan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pemain, Jamal Nasir juga mendedahkan bahawa Karl Heinz Weigang juga sudah menyerahkan kertas cadangan jia Perak inginkan khidmatnya lagi.