BEKAS penyerang kebangsaan, Azizul
Kamaluddin, belum memberi kata putus sama ada
terus bersama Pahang atau tidak kerana memikirkan gaji yang ditawarkan
Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) bagi musim 2001.
Ini kerana pada masa sama, penyerang berasal dari Kuantan itu sedang
memikirkan sama ada masih beraksi bersama Pahang atau pasukan lain bagi
saingan Liga Malaysia
musim depan.
Disebabkan itu, Azizul tidak menandatangani kontrak bersama skuad Pahang
ketika rakan lain menurunkan tandatangan untuk musim 2001 di Kuantan,
kelmarin.
Bagaimanapun, menurutnya, dia akan membuat keputusan sebelum sambutan
Aidilfitri kerana Pahang akan menjalani latihan bermula awal Januari depan.
“Pada
masa sama, saya sudah pun memaklumkan kepada
pengurusan PBNP untuk menangguhkan keputusan menyertai skuad Pahang atau
tidak,” katanya di Kuantan semalam.
Kelmarin, kehilangan bekas penyerang kebangsaan menjadi tanda tanya kerana dia
dikatakan akan terus bersama Pahang tetapi kegagalannya menandatangani kontrak
menimbulkan persoalan.
Bagaimanapun, kehilangan Azizul langsung tidak meresahkan pengurusan PBNP.
Malah, PBNP meminta Azizul supaya segera menghubungi presiden atau timbalan
presiden persatuan berkenaan jika masih berminat untuk menyarung jersi Pahang,
musim depan.
Naib Presiden Satu PBNP, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, Azizul tidak dapat
dihubungi dan persatuan masih kabur sama ada
penyerang itu menerima tawaran negeri atau sebaliknya.
“Jika Azizul masih berminat, sila hubungi PBNP segera. Tapi, PBNP tetap
tidak berganjak terhadap isu gaji yang terpaksa dikurangkan,” katanya.
l Sementara itu, teka-teki kehilangan Azizul daripada majlis menandatangani
kontrak dengan PBNP kelmarin terjawab apabila pemain itu dikatakan berminat
untuk datang ke Perak.
Malah bekas penyerang kebangsaan itu dikatakan akan mengadakan pertemuan
dengan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PFA), Jamal Nasir Rasdi
di Ipoh, hari ini.
“Azizul menghubungi saya untuk menyatakan kesediaannya untuk mengadakan
perbincangan.
“Jadi, tidak ada salahnya perbincangan dan pertemuan itu diadakan kerana
kedua-dua pihak memang ada keinginan antara satu sama lain,” kata Jamal
Nasir selepas mesyuarat majlis PFA di Ipoh, semalam.
Jamal Nasir yakin kemampuan jentera serangan Perak yang setakat ini mempunyai
khidmat Mohd Khalid Jamlus, V Saravanan, M Nagaraja serta yang terbaru Norizam
Ali Hassan bertambah kuat jika disertai Azizul nanti.
Berikutan itu beliau yang juga pengurus pasukan berharap rundingan itu akan
berjaya dan Perak berupaya membuat ‘tangkapan’ terbesarnya itu.
Setakat ini, Azlisham Ibrahim dan Norizam adalah dua pemain luar yang baru
menyertai juara Piala Malaysia
itu.
Selain itu, Jamal Nasir mengumumkan pelantikan Mohd Najri Abdul Hamid sebagai
setiausaha baru PFA selepas mendapat persetujuan Presiden PFA, Raja Nazrin
Shah. Mohd Najri yang juga Ketua Penolong Pegawai Daerah Ipoh menggantikan
Abdul Hadi Alang Rashid.
Menurut Jamal Nasir, Raja Nazrin juga bersetuju dengan pelantikan Ketua
Eksekutif Maju Perak, Mansur
Ahmad sebagai bendahari baru PFA menggantikan Amaluddin Ismail .